Pelakon dan penyanyi era 1960-an, Siti Aminah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mimi Loma meninggal dunia dalam tidur pada usia 75 tahun di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak pada pukul 2.19 pagi tadi.
Khabar sedih berkenaan pemergian adik kepada Allahyarham Puan Sri Saloma itu itu dimaklumkan sendiri oleh anak tunggalnya, Sherina Othman, 48.
“Ibu sejak beberapa hari yang lalu mengalami cirit birit dan kurang selera makan. Jadi kami pun ada memantau dan memberinya ubat supaya tidak melarat.
“Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. Apabila dipanggil, arwah tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respons perlahan,” katanya.
Menurut Sherina, kira-kira pukul 2.10 pagi, nafas ibunya semakin perlahan sebelum meninggal dunia dihadapannya dan ahli keluarga yang lain.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pagi ini. -SM