Senator DAP mahu Muhyiddin ‘korbankan’ Hamzah, Azmin
Jika Muhyiddin mahu kerjasama DAP dalam Parlimen demi kebaikan negara di saat krisis Covid-19.
SENATOR DAP membuat tawaran untuk mengadakan kerjasama dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dengan syarat beliau sanggup mengorbankan dua menteri iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Azmin Ali dari Kabinet.
Liew Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, pengorbanan itu wajar bagi melancarkan proses kerjasama antara parti itu dan Muhyiddin.
“Untuk memecahkan sebarang kebuntuan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar menggunakan Parlimen sebagai wadah kerjasama, rundingan dan urus tadbir bersama dengan pihak pembangkang demi kebaikan negara di saat krisis Covid-19.
“Bagi melancarkan proses tersebut, adalah wajar bagi Muhyiddin untuk mengorbankan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali,” kata Chin Tong dalam blognya hari ini.
Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, pemecatan Hamzah dan Azmin merupakan bukti bahawa Muhyiddin ikhlas untuk bekerjasama dengan DAP.
“Dengan layanan saksama terhadap Ahli Parlimen pembangkang, melayan mereka secara adil seperti anggota ‘backbencher’ dari segi sumber dan akses untuk memberi input dasar, dengan suatu perjanjian ‘confidence and supply’; kerajaan Muhyiddin berpeluang untuk mengubah krisis ini menjadi suatu kelahiran baharu buat demokrasi berparlimen di Malaysia.
“Bagi melancarkan proses ini, Muhyiddin juga wajar mempertimbangkan untuk memecat Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali, sebagai bukti niat ikhlas kepada semua parti agar kita dapat jalan terus secara dwipartisan,” kata Chin Tong.
Tanpa berselindung, Chin Tong mendakwa, Hamzah merupakan arkitek cubaan gagal merampas kuasa pada Oktober 2019 yang cuba membuang DAP dan Amanah daripada kerajaan PH dengan persekongkolan bersama Azmin Ali dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hamzah juga didakwa merupakan perencana utama Langkah Sheraton dengan bantuan Azmin.
Chin Tong turut mendakwa kononnya langkah mengisytiharkan perintah darurat adalah usaha Hamzah yang disokong oleh Azmin.
“Bagi membina semangat kerjasama dwipartisan ini, Muhyiddin wajar meminta Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali untuk meletakkan jawatan dan memikul tanggungjawab kerana memberi nasihat salah kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga kerana mewujudkan persekitaran politik toksik yang telah menyebabkan Kabinet membuat keputusan untuk perintah darurat.
“Dengan ketiadaan Hamzah dan Azmin daripada Kabinet, kerjasama antara komponen Perikatan akan beransur pulih, dan suasana yang lebih harmoni dalam kerjasama dwipartisan bersama pihak pembangkang di saat krisis Covid-19 dapat dibentuk,” kata Chin Tong.-SM