Nasionalpilihan

Semua usahawan bumiputera boleh mohon AP mulai 1 Julai

Bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera yang berminat, berkuatkuasa 1 Julai 2024,  mana-mana syarikat bumiputera, termasuk syarikat yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.

Langkah ini selaras dengan usaha Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

MITI dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat Bumiputera yang berminat adalah tertakluk kepada syarat-syarat utama berikut:
i. Berstatus Sendirian Berhad;
ii. Pemilikan 100 peratus Bumiputera;
iii. Mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta; dan
iv. Sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif.

Pertambahan  bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing.

Objektif utama Kerajaan adalah untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.

Untuk itu MITI mempelawa syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan. Garis panduan, borang permohonan dan senarai semak boleh dirujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button