Politik

Semangat patriotik perlu disemai kembali – Tan Sri Rahim Thamby Chik

Lagenda politik tanah air, Tan Sri Rahim Thamby Chik gembira jika dapat melihat semangat patriotik dalam kalangan generasi muda dapat disemai kembali.

Hal ini demikian kerana untuk ketika ini, rata-rata generasi muda kurang sentimen kecintaan terhadap negara dan lebih gemar untuk tidak mengambil endah.

“Masyarakat yang berusia di antara 20-an atau 30-an suatu ketika dahulu boleh dikatakan agak berbeza kerana memiliki semangat patriotik yang cukup luar biasa.

“Namun demikian fenomena hari ini menunjukkan yang sebaliknya apabila ada dalam kalangan generasi muda bersikap tidak peduli tentang negara,” katanya.

Bagi Rahim, sikap itu sangat kurang sesuai dipraktikkan dalam kalangan generasi muda lebih-lebih lagi bagi anak-anak Melayu yang beragama Islam.

Rahim berkata demikian dalam satu pertemuan santai bersama Sayap Srikandi Muda Bersatu Malaysia di ibu kota Kuala Lumpur, pada Selasa.

Turut hadir, Ketua dan Naib Ketua Sayap Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Hafrina Rohayu serta barisan G5 sayap tersebut.

Rahim menekankan perlunya pembangunan semula semangat cinta akan negara dan kesedaran akan tanggungjawab terhadap pembangunan dan keamanan negara.

“Saya percaya bahawa generasi muda kita mempunyai potensi yang besar untuk menjadi agen perubahan yang positif dalam masyarakat.

“Mereka perlu diberi pendidikan dan pendedahan yang mencukupi tentang sejarah, nilai-nilai kebangsaan, dan pentingnya keharmonian antara kaum dalam negara kita,” katanya.

Rahim juga menggariskan pentingnya pemimpin muda untuk memainkan peranan aktif dalam membimbing dan memberi teladan kepada generasi seterusnya.

Ujar beliau, pendekatan ini penting untuk memastikan warisan patriotik dan kesatuan dalam kalangan rakyat terus dikekalkan dan diperkukuhkan.

“Dalam menghadapi cabaran globalisasi dan ancaman serba maju pada masa kini, realiti yang sedang berlaku tersangatlah kritikal dan perlu diselamatkan.

“Perlu ada usaha agar generasi muda di Malaysia mempunyai identiti kebangsaan yang kukuh dan kesedaran akan peranan mereka dalam membentuk masa depan negara,” tambah Rahim. – Suara Merdeka

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button