Nasional

Seluruh wartawan perlu bersatu di bawah satu persatuan – Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mahu golongan wartawan bersatu di bawah naungan sebuah persatuan khusus yang mewakili media cetak, media elektronik dan media internet di negara ini.

Perdana Menteri berkata, penubuhan persatuan itu amat penting bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara selain profesion kewartawanan diperkasa dan kebajikan wartawan dijamin.

Menurut beliau, bagi mendukung standard dan menaikkan tahap profesionalisme kewartawanan negara sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia perlu ditubuhkan.

Menurutnya, pusat kajian tersebut dapat mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan di Malaysia.

“Saya suka menyarankan supaya satu inisiatif dimulakan ke arah pembentukan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia diwujudkan di Melaka.

“Wartawan dianggap golongan pemikir kerana sentiasa memperoleh informasi yang segar dan terkini sebelum mencambahkan buah fikiran dan idea bernas bagi memperkayakan penulisan untuk menjamin Keluarga Malaysia yang berinformasi.

“Saya amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Perdana Menteri berucap pada majlis perasmian Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2020 di sebuah hotel tersohor di Bandar Hilir di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Mentek.

Majlis turut diserikan kehadiran golongan wartawan media cetak dan media elektronik serta dihadiri 15 pemimpin media utama dari Indonesia.

Hawana 2022 merupakan hari bagi memperingati profesion kewartawanan di negara ini dianjurkan oleh Pertubuhan Berita  Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan kerjasama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, Deklarasi Melaka sempena HAWANA 2022 mencerminkan komitmen dan keseriusan golongan wartawan dalam membantu menperkukuhkan hubungan Keluarga Malaysia serta menjaga keharmonian negara menerusi profesionalisme kewartawanan itu sendiri.

“Saya sambut baik Deklarasi Melaka dan berharap semua wartawan dapat terus mendukung prinsip dan tanggungjawab yang berkaitan dengan etika serta profesionalisme bidang kewartawan,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menegaskan kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang sentiasa dibangkitkan oleh media.

Jelasnya, semua kementerian serta agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button