JenayahNasional

Selisih faham punca lelaki OKU disimbah air panas

SIASATAN polis mendapati perselisihan faham disyaki menjadi punca seorang lelaki sindrom Down melecur akibat disimbah air panas oleh seorang wanita ketika berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Jalan Rajawali, Georgetown, Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, pihaknya mendapati wanita berusia 39 tahun itu bertindak sedemikian kerana perselisihan faham yang berlaku antara mereka sebelum ini.

“Berdasarkan siasatan, wanita itu dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain kerana mereka tinggal di bangunan yang sama di pangsapuri tersebut.

“Siasatan setakat ini, kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa yang melibatkan perkara sensitif, ia sudah berlaku lama iaitu dalam tempoh tiga atau empat tahun lepas,” katanya kepada pemberita.

Kamarul berkata, pihaknya ketika ini sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk melengkapkan kertas siasatan kes tersebut sebelum menyerahkannya kepada pejabat pendakwaan untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata siasatan awal setakat ini mendapati wanita yang bekerja sebagai pembantu jualan itu juga tidak mempunyai masalah kesihatan mental, namun polis akan menghantar mangsa untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Setakat ini polis telah merakamkan percakapan tiga orang saksi bagi membantu siasatan kes itu dan mangsa yang dilaporkan stabil masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Beliau berkata wanita itu direman sehingga Rabu dan kes disiasat Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Media sebelum ini melaporkan insiden itu berlaku ketika mangsa yang berusia 33 tahun ingin pulang ke rumahnya di tingkat 16 dan dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada adik perempuannya pada kira-kira 9.20 pagi semalam.

Berdasarkan laporan oleh adik perempuan mangsa, lelaki sindrom Down itu mendakwa telah disimbah asid oleh seorang wanita, ketika berada di dalam lif hingga melecur pada bahagian badan.

Mangsa telah dibawa ke HPP untuk menerima rawatan dan pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa melecur pada sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan disebabkan terkena air panas, bukannya melecur akibat terkena asid dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Video insiden dalam lif yang berdurasi 20 saat itu turut tular di media sosial dan netizen mengecam tindakan wanita tersebut. – SUMBER FMT – FM

BACA Wanita warga emas dipenjara setahun simbah asid

BACA Wanita mengaku tak bersalah simbah anak dengan air panas

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button