Selesai segera siasatan pertemuan bekas ahli PKM di Kajang
POLIS diarah supaya segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, semalam.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara yang dikhuatiri mengancam keamanan itu tidak boleh dibiarkan berlaku apatah lagi jika pertemuan itu cenderung untuk menghidupkan semula semangat komunisme di negara ini.
“Kita tidak boleh pandang ringan hal-hal sebegini. Negara kita sudah aman, jadi apa perlu hal sebegitu. Ini pandangan di peringkat awal tetapi yang penting jalankan siasat dahulu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen 2019 di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan media, kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan yang dipercayai melibatkan bekas ahli PKM itu semalam, antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Dis, 1989.
Muhyiddin berkata polis dan Cawangan Khas telah diarah membuat siasatan bagaimana perhimpunan itu diadakan, apakah ia memerlukan kelulusan pihak berkuasa atau adakah ia telah melanggar mana-mana undang-undang yang diperuntukkan di negara ini.
Menurutnya, siasatan itu juga menjurus kepada tujuan sebenar perhimpunan itu sama ada semata-mata untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai seperti didakwa atau ia satu usaha untuk menghidupkan semula semangat komunisme lampau.
Ditanya sama ada bekas ahli PKM boleh melakukan pertemuan seperti itu, Muhyiddin berkata sebagai sebuah negara yang merdeka perkara itu tidak boleh dihalang tetapi pihak berkenaan juga perlu memikirkan sama ada semangat sebegitu perlu dibangkitkan dalam situasi negara yang sudah aman.
Muhyiddin berkata, Kementerian Dalam Negeri memandang berat perkara seperti itu, apatah lagi keadaan ‘menimbulkan perasaan tidak baik dalam kalangan rakyat’ kebelakangan ini yang dianggap sebagai merisaukan.
“Saya sebagai rakyat biasa juga risau malah kadang-kadang lebih daripada risau, kenapa mutakhir ini ada trend-trend sebegitu timbul. Tetapi saya sebagai menteri yang bertanggungjawab, akan pastikan negara kekal aman,” katanya merujuk kepada tindakan pihak tertentu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng ke Malaysia. — BERNAMA