Nasional

PH perlu fikirkan kebajikan polis bukan menindas

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) perlu lebih banyak memikirkan kebajikan anggota polis dan bukannya menindas mereka melalui penubugan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, semua pihak menentang salah laku, tetapi sangsi dengan IPCMC.

“Untuk apa IPCMC jika sudah sedia ada suruhanjaya khusus yang menjalankan fungsi yang sama iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)?

“Malahan 21 agensi dikawal selia di bawah EAIC termasuk polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi undang-undang, katanya, sudah ada peruntukan khas untuk salah laku iaitu Akta Polis 1967, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta SPRM.

Katanya,, di bawah PDRM juga ada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS). Selama ini tindakan tatatertib banyak dikenakan ke atas anggota dan pegawai polis yang membuat salah laku, tetapi tidak perlu diuar-uarkan.

“Sudah banyak benda yang sama menekan pihak polis. Itu belum lagi tekanan daripada pemimpin PH, khususnya DAP. Tembak penjenayah yang mulakan serangan senjata api pun jadi isu.

“Tidak cukup menindas, bilakah PH nak fikir tentang kebajikan polis?

“Anak isteri mereka, bila-bila masa boleh kehilangan bapa dan suami yang bersabung nyawa mempertahankan keselamatan tanah air. BIla nak buatkan polis semua berkhidmat dengan rasa senang hati tinggalkan anak isteri di rumah?

“Berlakulah adil sebagai pemerintah, bukannya menindas pasukan Polis yang menjaga keamanan dan keselamatan kita hingga kita rakyat boleh tidur nyenyak,” katanya.

Katanya, kenapa tak tubuhkan suruhanjaya untuk aduan dan salah laku ahli parlimen dan Adun? Ponteng sidang parlimen, itu pun salah laku. Siapa nak ambil tindakan?

“Ataupun, adakah ada motif lain? Memandangkan kebelakangan ini PDRM berani mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli politik PH tanpa berat sebelah, seperti kes LTTE dan jenayah rogol, adakah PH mahu PDRM tunduk di bawah kehendak politik mereka?” Tanya beliau. – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button