HANYA selepas 21 bulan memerintah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rasminya terkubur apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatanya sebagai Perdana Menteri semalam.
PH yang didaftarkan secara rasmi pada 16 Mei 2018 atas dasar memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, berakhir pada 24 Februari 2020.
Ironinya, apa yang berlaku ini bukanlah keputusan memeranjatkan. Umum menyedari hubungan antara parti komponen sentiasa tegang sejak awal penubuhan lagi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sejarah hitam yang panjang bersama Dr. Mahathir, yang merupakan pemimpin Bersatu.
Sementara itu, hubungan Dr. Mahathir dan pimpinan DAP, ‘panas’ sejak sekian lama.
Namun, atas matlamat yang sama – mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, kekurangan dan kepincangan itu diabaikan.
Hakikatnya, nama ‘pakatan’ yang digunakan bagi menggambarkan kerjasama atau setia kawan itu juga membawa maksud dan konotasi tidak baik.
Dalam istilah bahasa mudah, pakatan dirujuk sebagai ‘usaha dilakukan pihak pertama dan kedua yang mahu menjatuhkan pihak ketiga’.
Realiti kehidupan, apa juga tindakan yang bermula dengan cara salah, sering kali juga akan berlaku pengakhiran tidak menggembirakan.
Selain PKR, DAP dan Bersatu, PH turut dianggotai Amanah, parti serpihan Pas diketuai Mohamad Sabu.
Sepanjang pentadbiran kerajaan PH, negara tidak sunyi daripada kontroversi. Majoriti rakyat, terutama orang Melayu ‘marah’ dengan tindakan pihak tertentu ‘mengusik’ kepentingan mereka.
Isu Tabung Haji mungkin boleh disifatkan sebagai kemuncak rasa tidak puas hati selain beberapa isu lain yang menggambarkan betapa lemahnya pihak berkuasa untuk bertindak.
‘Perebutan kuasa’ yang tidak habis-habis juga menyumbang kepada meningkatnya suhu kemarahan rakyat. Rakyat bosan kerana kehidupan mereka terus dihimpit dengan tekanan ekonomi dan sosial.
Kegagalan menangani pelbagai perkara tersebut mendorong sebahagian besar rakyat, terutamanya orang Melayu ‘merestui’ tindakan ‘pintu belakang’ yang dilakukan Dr. Mahathir.
Kini seluruh negara tertunggu-tunggu siapa yang bakal mengisi kekosongan kerusi Kabinet baharu.
Sudah pasti mereka mahukan muka-muka segar yang berkelayakan untuk memimpin.
Dalam hubungan ini, diharapkan Dr. Mahathir yang diakui bijak menyusun atur corak permainan politik di negara ini, mendukung harapan rakyat dan tidak lagi melakukan kesilapan dengan memilih individu ‘bermasalah’ sebagai menteri.
Semoga tahun 2020 memberi nafas baharu kepada Malaysia membina imejnya kembali.