Selepas Search dan Wings, kini giliran Lefthanded pula berantakan
TIDAK tahulah mengapa kumpulan rock tempatan yang sudah boleh digelar lagenda pasti ada masalah melibatkan anggota mereka.
Sebelum ini pemain dram kumpulan Search, Allahyarham Yazit pernah berhadapan perselisihan faham dengan kumpulannya.
Begitu juga dengan Wings yang menyaksikan pemain gitar kumpulan itu, Joe yang juga bersengketa dengan ahli kumpulannya hingga dia mengambil keputusan keluar dan menubuhkan kumpulan baharu.
Kini, penyakit sama pula dihadapi oleh Lefthanded selepas pemain dram kumpulan itu, Yan yang menganggap dirinya disisihkan oleh kumpulan tersebut.
Yan memberitahu dia disisihkan dari empat konsert membabitkan Lefthanded, selain lagu-lagu ciptaannya dimainkan Lefthanded dalam konsert terbabit.
Namun, berbeza pula pendapat yang diberikan oleh dua anggota Lefthanded iaitu Nash dan Man Kidal.
Bagi pemain gitar kumpulan itu, Man Kidal yang menganggap ada orang di belakang Yan yang cuba melaga-lagakan mereka.
“Saya tahu ada orng cuba lempar batu sembunyi tangan. Kita kenal satu sama lain dah lama dan kita masih kenang jasa dia.
“Tetapi bila sudah tidak boleh bersama, kita harus berpisah. Saya pun tak naak ulas lebih lanjut kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan,” katanya.
Menurut Man Kidal lagi, dia tidak mengambil peduli apa yang diperkatakan oleh Yan kerana sedang fokus pada persembahan konsertnya.
“Saya kalau boleh tidak mahu perkara ini berpanjangan sebab saya malu. Saya tak nak dosa. Saya main muzik bukan nak bergaduh,” katanya yang sedia berbincang isu tersebut dengan Yan.
Sementara itu, vokalis Lefthanded, Datuk Nash pula berkata, konsert terbaharu mereka sudah dirancang lima tahun yang lalu.
Menurutnya, bila tiada kata sepakat berjaya diputuskan, maka mereka terpaksa meneruskan konsert tersebut dengan mengambil ahli-ahli lain yang mempunyai bakat besar dalam muzik.
“Saya dan Man Kidal masih bersaudara lagi dengan Yan dan jika dia ingin datang ke konsert tersebut juga kita tidak ada masalah kerana muzik adalah muzik.
“Saya pun pernah keluar dan disingkirkan daripada Lefthanded. Tetapi hubungan kami tetap baik dan Man Kidal adalah pemain gitar untuk satu daripada album yang dihasilkan ketika saya bergerak solo.
“Soal keluar masuk kumpulan ini bukan satu masalah pun. Apa yang penting hubungan sesama kita baik dan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Lefthanded kini merekrut anggota baru yang terdiri daripada pemuzik berpengalaman seperti Rio Rasul (keyboard), Ritz (gitar) dan Fly Halizor (bass) yang dikenali sebagai Lefthanded 2020.
Barisan baharu ini juga bakal terlibat dengan Projek G.I.L.A iaitu singkatan daripada Gerakan Ilmu Laksana Agenda.
Ia akan berlangsung tahun depan sempena meraikan 40 tahun pembabitan Lefthanded di dalam industri muzik tanah air.
Sebanyak 10 lokasi di seluruh negara sudah dipilih sebagai tapak konsert yang bakal menemui pada tahun hadapan. -SM