Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mempertahankan dakwaan ceramahnya ketika berkempen di Tanjung Piai bukan bersifat perkauman.
Sebaliknya beliau menjelaskan kata-katanya hanya merujuk kepada pendirian UMNO dan Pas pada masa lalu.
Salahuddin turut mengimbas ucapan Najib Razak sewaktu menjadi ketua pemuda Umno pada 1987.
“Saya memperingatkan bahawa beberapa bulan sebelum menjelang Ops Lalang tahun 1987, pergerakan pemuda UMNO yang dipimpin oleh Najib Razak waktu itu, berucap “basahkan keris dengan darah Cina. Dia tidak pernah minta maaf atas ucapan itu sehingga beliau menjadi perdana menteri keenam.
“Maka, mana-mana parti yang bermain dengan isu perkauman yang melampau berkawan dengan parti agama yang melampau maka kita kena berhati-hati,” katanya.
Kata Salahuddin, apabila isu perkauman dan agama yang dimainkan secara melampau sehingga berlaku huru-hara serta berlaku pembunuhan kerana isu itu keamanan di negara ini akan musnah.
“Oleh itu saya mengingatkan jangan kita mengeluarkan kenyataan yang berbau sebagaimana saya maksudkan melalui ucapan-ucapan yang begitu rasis yang kadang-kadang berlakunya ucapan agama yang begitu melampau,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.