Selepas bertarung nyawa 26 hari, dia pergi meninggalkan anak-anak di hari raya kedua
Sayu dan pilu. Seorang ibu bertarung nyawa selama 26 hari dalam keadaan koma, akhirnya menghembuskan nafas terakhir, pada hari raya kedua, semalam, meninggalkan empat anak berhari raya tanpa ibu dan bapa.
Siti Khodijah Ab Manaf, 32, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, mangsa dera lapan tahun perkahwinan dengan suaminya yang kini merengkuk di penjara.
Wanita terbabit meninggalkan empat orang anak yang masih kecil iaitu, Nur Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam, 8; Abdul Raqiz, 5; Abdul Wafiy, 4; dan Irfan Arshad, 2, yang kini dijaga oleh nenek mereka, Rokiah Bahari, 68.
Ibu saudara mereka, Hafizah Ibrahim, 41, berkata, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik tiba-tiba pengsan pada pukul 4 pagi, 18 April lalu ketika hendak membancuh susu anaknya.
Hafizah berkata, sejak dirawat di HSAH, arwah tidak sedarkan diri dan cuma dua hari lalu, dia menunjukkan perubahan apabila menggerakkan jari dan tangan kirinya.
“Kami mengharapkan dia sembuh dan kembali ke sisi anak-anak, namun hari ini kami dikejutkan dengan berita pemergiaanya buat selamanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu arwah di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, lapor Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia pada 2 September tahun lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki kerana memukul isterinya sehingga cedera selepas menuduh mangsa berlaku curang dalam kejadian di rumah mereka di Taman Bandar Puteri Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 30 tahun dan merupakan suri rumah membuat laporan polis setelah mendakwa suaminya yang berusia 36 tahun sering memukulnya.
Hafizah memberitahu, dia sempat membawa empat anak arwah ke pasar raya untuk membeli pakaian untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu.
“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terutama ketika dalam suasana hari raya, kami kehilangan arwah,” katanya.
Tambahnya, kesemua anak arwah demam dan batuk pada hari raya pertama semalam disebabkan terlalu rindukan ibu mereka.
Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Wang, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang sebaik sahaja selesa bedah siasat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan berhubung kematian mangsa, namun masih menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian wanita berkenaan.
“Saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana siasatan masih sedang dilakukan,” jelasnya.