Selangor unjur 4.2 peratus kadar pengangguran 2020
KERAJAAN Selangor mengunjurkan kadar pengangguran pada tahun ini sebanyak 4.2 peratus berbanding 5.5 di seluruh negara.
Unjuran pengangguran sedemikian adalah berdasarkan rekod kehilangan pekerjaan di negeri itu sebanyak 18,976 pekerja setakat pada 9 Julai.
Kehilangan pekerja pada tahun ini turut dipengaruhi oleh serangan pandemik Koronavirus (Covid-19) yang menjadi penyumbang besar kepada sektor pekerjaan seluruh negara.
Oleh demikian jika dibandingkan pada 2018 dan 2019, Selangor mencatatkan pengangguran pada kadar 2.8 dan 2.4 peratus.
“Pada Jun lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan unjuran kadar pengangguran Malaysia akibat pandemik Covid-19 setakat Mei 2020 ialah 5.3 peratus.
“Berdasarkan kaedah pengiraan method linear interpolation, kerajaan negeri menjangkakan unjuran pengangguran sebanyak 4.2 peratus.
“Kehilangan pekerjaan seramai 18,976 orang adalah berdasarkan rekod di bawah Skim Insurans Pekerjaan (EIS) Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (Perkeso).
“Kehilangan pekerjaan di negeri Selangor diambil sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.”
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Negeri Selagor, Mohd. Khairuddin Othman.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Selangor Mega Jobfair 2020 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut mengenalpasti 24,500 peluang pekerjaan di seluruh Selangor bagi menimbal balik impak kehilangan pekerjaan akibat pandemik.
Oleh demikian, Selangor Mega Jobfair 2020 akan dianjurkan di sembilan lokasi seluruh negeri bermula Oktober hingga Disember.
“Program ini bertemakan ‘Selangor Bekerja’ akan bermula di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 3 dan 4 Oktober.
“Sebagai permulaan, kerajaan negeri menyasarkan 15,000 pengunjung disusuli dengan penganjuran karnival kerjaya di setiap daerah seluruh Selangor.
“Di SACC nanti, seramai 60 majikan yang akan menawarkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor terutama perindustrian dan perkhidmatan.
“Lokasi lain yang akan diadakan seperti Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 10 dan 11 Oktober dan Dewan Orang Ramai Telong Panglima Garang, Kuala Langat (24-25 Oktober).
“Selain itu, Pusat Komuniti Gombak (7-8 November), Dewan Seri Cempaka Kajang, Hulu Langat (14-15 November) dan Sepang (21-22 November).
“Program ini juga akan dianjurkan di Klang pada Hulu Selangor (5-6 Disember), Sabak Bernam (12-13 Disember) dan Klang (28-29 Disember),” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Khairuddin turut menasihatkan orang ramai yang ingin mencari kerja dalam program ini supaya mendaftar di laman JobsMalaysia dan Perkeso.
Keperluan itu adalah merupakan langkah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Selangor Task Force Covid-19(STFC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Antara SOP yang ditetapkan, para pemohon perlu mendaftar di JobsMalaysia dan Perkeso sebelum menghadiri temuduga mengikut masa yang ditetapkan,” jelasnya. – SM