Sukan

“Selamat tinggal skuad kebangsaan” – Shalin Zulkifli

Kejar impian pemain boling profesional antarabangsa

SHALIN Zulkifli mula menggilap namanya dalam sukan boling di peringkat antarabangsa sejak usianya masih remaja. Kecemerlangan dan prestasi konsisten sepanjang 28 tahun bersama skuad kebangsaan telah menyaksikan atlet berusia 42 tahun itu mengecapi deretan kejuaraan dalam kariernya yang penuh warna-warni.

Atlet kelahiran London, England itu telah banyak menyumbang jasa kepada skuad kebangsaan dan beberapa hari lalu, dia mengumumkan titik noktahnya bersama pasukan negara.

Dalam erti kata lain, Shalin mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan dan pada sidang akhbar di ibu negara, semalam, dia menzahirkan hasratnya untuk bergelar pemain profesional sepenuh masa.

Jika dulu dia bergerak di atas nama Malaysia dan berada di bawah naungan  Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tetapi kini dia bertanggungjawab penuh ke atas dirinya selaku pemain profesional.

Memang benar Shalin bersara, tetapi hanya bersama skuad kebangsaan, dan bagi peminat setia atlet tersebut anda masih boleh melihat kelibatnya beraksi di pentas profesional baik di peringkat antarabangsa mahupun domestik.

Mungkin juga keputusannya itu bagi membuka laluan kepada pemain-pemain lebih muda untuk mewakili Malaysia.

Shalin mengalirkan air matanya sewaktu menzahirkan hasratnya itu di depan pemberita pada sidang akhbar tersebut.

Bagaimanapun, Shalin berkata, dia berbuat demikian demi mengejar impian zaman kanak-kanaknya untuk meraih gelaran juara di sirkit profesional.

“Ia merupakan satu-satunya impian yang masih belum dikecapi. Dalam senarai pencapaian saya, semua sudah ada.

“Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel malah gelaran juara dunia. Hanya gelaran di sirkit pro sahaja saya masih belum capai. Itu sahaja yang tertinggal.

“Sebelum ini pun ada sertai sirkit pro tapi pencapaian terbaik saya hanyalah di tempat kedua.

“Jadi saya mahu lunaskan sasaran saya yang masih belum tercapai, sebab itu saya mahu buat bersungguh-sungguh untuk capai impian ini, Insya-Allah pada tahun ini, sebab saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bersaing.” kata Shalin yang dipetik kenyataannya menerusi Bernama.

Selain mengejar impiannya, Shalin juga mengakui masalah kecederaan yang kerap membelenggunya turut menjadi punca kepada keputusannya untuk berundur daripada skuad kebangsaan.

“Salah satu sebab kenapa saya bersara kerana saya banyak kecederaan. Kalau tanya doktor, kebanyakan kejohanan yang saya pergi saya cedera.

“Tahun 2015 pun saya kena buat pembedahan di kaki, macam lima tahun terakhir memang banyak kecederaan.

“Jadi, saya nak kembalikan badan saya sihat sebelum saya pergi bertanding dalam sirkit pro pada April nanti, itu pun bergantung kepada situasi semasa (Covid-19), harap semua sudah reda,” ujarnya.

Sementara itu, Shalin turut menyifatkan kejayaan memenangi pingat emas dan membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai kenangan paling manis dalam kariernya.

“Paling manis masa menang di Sukan SEA Kuala Lumpur (2017) kerana tekanan memang banyak kepada kami waktu itu untuk menjadj kontinjen juara keseluruhan terutama bagi sukan boling supaya menyumbang seberapa banyak pingat yang boleh.

“Kami bermain lama, lebih dari 10 jam sejak dari pagi. Saya memang penat sangat hari itu dan saya cakap mungkin saya tak ada peluang lagi untuk berada dalam situasi ini pada masa akan datang.

“Jadi saya kena paksa walaupun penat atau sakit dan saya dapat keputusan yang baik untuk kontinjen negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman pahit pula, Shalin berkata, ia berlaku sewaktu dia gagal membawa pulang pingat emas Sukan Komanwel 1998 yang berlangsung di tanah air.

“Sebab masa itu, saya menjadi salah seorang atlet yang diharapkan untuk menang emas,” katanya.

Menyorot pencapaian selama 28 tahun Shalin sebagai atlet kebangsaan, isteri kepada bekas pemain boling kebangsaan, Azidi Ameran itu mencipta kerjaya cemerlang mengumpul sebanyak 74 pingat sepanjang pembabitannya bersama skuad Malaysia.

Shalin mula menceburi sukan itu ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 dia dinobatkan sebagai Olaragawati Muda Harapan Selangor dan tiga tahun kemudian memenangi Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Star 1994 dengan menjadi pemain termuda serta pemain Malaysia pertama berbuat demikian.

Sejak itu, dia tidak berpaling lagi ke belakang dengan merangkul pelbagai gelaran sama ada di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga kejuaraan dunia.

Shalin yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002 – pernah meraih pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu 2003 di Malaysia dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Dia yang menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ketua jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah pada Selasa lepas turut melahirkan hasrat untuk mengeluarkan buku bibliografi mengenai perjalanan hidupnya dalam sukan tenpin boling.

Walau apa jua keputusan Shalin selepas ini, dia sepatutnya sudah boleh menarik nafas lega dan menikmati kehidupannya dengan lebih santai kerana dia telah memberi segala-galanya buat Malaysia.

Sumbangan serta pengorbanannya terhadap negara cukup besar. Shalin berjaya mengharumkan nama Malaysia dan mengibar megah Jalur Gemilang di pentas dunia.

Sesungguhnya jasanya itu akan terus dikenang dan dihargai oleh seluruh warga Malaysia.

Selamat berehat dan bergelar pemain profesional, Shalin! – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button