Nasional

Sektor Koperasi Negara Mencatat Perolehan Sebanyak RM41.47 bilion

Sektor koperasi negara mencatat perolehan sebanyak RM41.47 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya sebanyak 7.1 juta orang.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar ini, Kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Malah, gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Coopmart Dan Perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya, hari ini.

Sehingga Disember 2021, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta.

Bagi Perdana Menteri, ia menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan.

“Jika kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan
impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.

“Ini kerana sektor koperasi tempatan menawarkan peluang kepada Keluarga Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan dengan menganggotai dan memiliki saham koperasi ini yang juga bertindak
sebagai pemasar produk keluaran ahli-ahlinya,” katanya.

Jelas Perdana Menteri lagi, ketika pembentangan Bajet 2022, Kerajaan memperuntukkan RM10 juta di bawah Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) bagi memulihkan koperasi dan menjalankan aktiviti yang membantu menggerakkan ekonomi negara.

“Bahkan, turut disediakan bantuan menaik taraf infrastruktur koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berjumlah RM3.7 juta melalui Kumpulan Wang Covid – Kementerian Kewangan (PEMULIH).

“Bagi tahun 2021 hingga 2022, sejumlah RM16 juta diperuntukkan kepada koperasi sektor pemborongan dan peruncitan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button