Nasional

1,659 NGO Melaka tidak pohon geran MyIce

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 15 April – Sebanyak 1,659 daripada 1,705 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini masih belum
memohon bantuan sekali bayar (one off) sebanyak RM10,000 menerusi geran Malaysian Incentive Community
Empowerment (MyIce) di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam berkata, setakat ini
daripada hanya 46 persatuan sahaja yang telah memohon geran yang diperuntukan dalam Bajet 2022 bernilai
RM1 juta tersebut sejak ia mula dibuka 1 Februari lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 21 persatuan telah diluluskan untuk menerima bantuan RM10,000
manakala 18 lagi dalam siasatan kerana butiran yang dihantar belum lengkap manakala tujuh telah ditolak.

“Saya minta kerjasama daripada NGO terbabit khususnya bagi empat kategori iaitu sosial sebanyak 841,
keselamatan (4), kebajikan (835) dan hak asasi (25) untuk segera memohon geran tersebut.


“Permohonan masih dibuka sehingga Mei ini dan selepas daripada itu, geran tersebut akan dikembalikan
semula kepada kerajaan.

“Justeru, saya mohon kerjasama daripada mana-mana persatuan untuk mengisi permohonan melalui
www.eroses.gov.my yang perlu diisi oleh setiausaha pertubuhan,” ujarnya dalam sidang akhbar di Pejabat ROS
Melaka, Ayer Keroh di sini semalam.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, daripada RM20 juta peruntukan yang dibentangkan pada Bajet 2022 untuk
ROS, kerajaan negeri telah menerima sebanyak RM1 juta.

Tambahnya, adalah menjadi satu kerugian besar apabila bantuan one off itu tidak dipohon oleh persatuan
yang layak.

“Sebelum ini, geran tersebut dikhususkan kepada persatuan penduduk dan ini merupakan tahun pertama ROS
membuka kepada persatuan empat kategori yang layak mendapat peruntukan,” ujarnya.

Sementara itu, Nurhafidah Ali berkata, setiap persatuan yang hendak memohon geran MyICE perlulah
mengemukakan cadangan program yang bersesuaian dengan matlamat asal penubuhan persatuan itu.

Menurutnya, banyak permohonan ditolak sebelum ini kerana ia tidak selaras dengan matlamat asal persatuan
itu diwujudkan.

“Seperti contoh sebuah pertubuhan pencegahan jenayah, tapi mahu anjur kejohanan pertandingan badminton
yang mana ia sudah lari daripada matlamat asal pertubuhan tersebut,” ujarnya.

 

(Visited 38 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button