Jenayah

Polis rampas pokok ganja, ketum bernilai RM10,000

POLIS rampas pokok ganja dan ketum bernilai kira-kira RM10,000 dalam serbuan di Taman Menteri, Taiping, rabu lalu dan di KM 212.1 Lebuhraya Utara Selatan pagi semalam.

Berikutan itu polis turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 40 hingga 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Menteri, seorang lelaki berumur 42 tahun ditahan di belakang rumah dan pemeriksaan lanjut menemukan tiga pasu pokok ganja, enam paket plastik berisi daun ganja kering dan enam tiub benih ganja yang disorok dalam pasu.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM2,400 dan siasatan mendapati suspek membeli biji benih ganja secara dalam talian manakala pokok ganja itu ditanam sejak enam bulan lalu” katanya.

Tambahnya, menurut rekod jenayah lampau, suspek sebelum ini pernah dikaitkan dengan kes berkaitan dadah.


Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai 14 April hingga 20 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan didapati positif ganja.

Dalam kes berlainan, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang disyaki mempunyai daun ketum bernilai RM7,200.

Rampasan berkenaan dilakukan berikutan penahanan sebuah kenderaan utility sukan (SUV) oleh polis peronda Lebuhraya Bandar Baharu-Changkat Jering di KM 212.1 Lebuhraya Utara Selatan pada 8.15 pagi, semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami menemukan beg plastik berwarna hitam yang disyaki mengandungi daun ketum.

“Lelaki berkenaan dipercayai baru terlibat dengan kegiatan penjualan daun ketum yang membawa bahan itu dari Kedah dan Seremban dengan upah RM2,000 satu perjalanan” jelasnya.

Suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman empat hari mulai ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – Bernama – SM

(Visited 141 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button