Politik

Sekretariat Perpaduan bincang perkukuh jentera PRK DUN Kuala Kubu Baharu

Mesyuarat Sekretariat Perpaduan yang diadakan malam tadi membincangkan persediaan memperkukuh jentera dan gerak kerja parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu akan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR.
“Perbincangan malam ini berlangsung dengan cukup baik dan harmoni, juga adalah sebahagian daripada terjemahan kepada persefahaman yang intact, compact and functioning,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong.
Pada 3 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor itu pada 11 Mei ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button