Sekolah tutup tapi kenapa kena bayar yuran penuh? – Nabila Huda
PENINGKATAN kes Covid-19 secara mendadak telah memaksa sekolah untuk ditutup dan pembelajaran secara ‘online’ dilaksanakan.
Namun, pelaksanaan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Ada yang suka dan ada juga yang berfikiran sebaliknya.
Pelakon, Nabila Huda yang berkongsi pendapatnya memberitahu yang pembelajaran secara atas talian ini perlu diteliti semula daripada pelbagai aspek.
“Sudah tiba masa untuk kita berhenti membayar yuran sekolah kerana tiada sesiapa pun yang nak bantu kita selesaikan masalah berkenaan pembelajaran secara online.
“Belajar secara online, tetapi kena bayar yuran penuh. Tak logik langsung. Sekolah pun tutup bukan ada orang pakai kemudahan cuma nak bayar gaji cikgu. Kenapa kite nak kena terus membayar macam ni.
“Tak semua anak boleh faham sepenuhnya dengan pembelajaran online. Memang la orang akan cakap kena biasa dengan norma baharu.
“Norma baharu takde masalah. Tapi kenapa nak kena bayar yuran penuh. Tak boleh ke sekolah bertolak ansur jugak faham situasi kami macam kami faham situasi sekolah yang nak kena bayar gaji cikgu?,” katanya.
Menurut Nabila lagi, buat masa ini dia terpaksa berhenti berfikir berkenaan pembelajaran secara online dan memilih untuk mencari guru bagi mengajar anaknya di rumah.
Jelasnya, dia risau kerana anaknya semakin membesar dan banyak subjek yang sukar dipelajari secara baik kerana kanak-kanak tidak berminat untuk mengadap komputer riba.
“Pembelajaran secara online ini tidak 100 peratus berkesan untuk anak saya.
“Dulu memang saya tak setuju dengan kaedah bejalar di rumah (home school) sebab saya nak dia bersosial dengan rakan-rakannya.
“Tetapi dalam keadaan sekarang, saya sudah tidak ada pilihan dan perlu mencari guru yang boleh mengajarnya,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengarahkan semua pelajar untuk belajar secara online dan hanya pelajar yang menghadapi peperiksaan utama sahaja dibenarkan untuk hadir ke sekolah.
Keputusan itu dibuat selepas kes Covid-19 yang meningkat naik secara mendadak sejak kebelakangan ini. -SM