BeritaNasionalPendidikan

Sekolah penggal 1 dibuka 21 Mac 2022 seluruh negara

SESI persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah seluruh negara akan bermula pada 21 Mac 2022.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin berkata, dengan pengumuman tersebut, ibu bapa dan penjaga boleh membuat perancangan masing-masing sebagai persiapan pembukaan penggal baharu persekolahan 2022/2023.

Beliau berkata, operasi sekolah rendah yang mempunyai murid melebihi 600 orang, murid yang akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran adalah murid berkeperluan khas NPK, DSKPK dan PPKR, murid pra-sekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 dan semua murid penerima rancangan makanan tambahan (RMT).

 

“Bagi murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5, murid-murid ini akan hadir ke sekolah secara penggiliran,” kata Dr. Radzi.

Katanya, bagi murid sekolah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara, ketatapan ini juga digunapakai.

Untuk sekolah yang mana jumlah murid adalah kurang daripada 600 orang, Dr. Radzi berkata, semua murid sekolah rendah harian dan sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa, hadir tanpa penggiliran.

“Sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa dengan persekitaran melebihi 600 orang murid, boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya,” jelas beliau.

Manakala untuk sekolah menengah pula, Dr. Radzi berkata, kecuali sekolah berasrama sepenuhnya, semua murid akan hadir ke sekolah secara bersemuka bermula pada 4 April 2022.

“Mulai 21 Mac 2022 apabila semester ataupun penggal persekolah baharu bermula, murid-murid di sekolah menengah akan melaksanakan PDPR untuk tempoh dua minggu.

“Maknanya daripada 21 Mac 2022 sehingga 4 April 2022 murid-murid di sekolah menengah akan melaksanakan PDPR sampai 4 April 2022, semua murid sekolah menengah akan masuk ke sekolah tanpa penggiliran,” ujarnya.

Ini termasuklah murid berkeperluan khas di SMKPK, SMDKV dan PPKI, murid peralihan, murid Tingkatan 1, 2, 3, 4, 5 dan 6, pra-universiti, IPDP dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Untuk sekolah berasrama sepenuhnya ada sedikit perbezaan berbanding sekolah menengah yang lain.

“Bagi sekolah-sekolah berasrama sepenuhnya, murid yang akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran, yang dibenarkan masuk ke asrama bermula 4 April 2022, adalah murid Tingkatan 2, 3, 4, 5, 6, pra-universiti, IBDP serta peperiksaan setara yang lain.

“Manakala murid Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya boleh memilih untuk sama ada menjalani PDPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke sekolah asrama penuh ini diumumkan oleh pihak kementerian,” katanya.

Ini bermakna murid-murid Tingkatan 1 yang mendapat tawaran untuk ke sekolah berasrama sepenuhnya, murid-murid ini perlu berada di rumah masing-masing terlebih dahulu, dengan sama ada mengikuti PDPR atau hadir ke sekolah berdekatan secara bersemuka, kata Dr. Radzi lagi.

“Kita akan umumkan kemudian, bilakah murid Tingkatan 1 di sekolah berasrama sepenuhnya ini, dapat masuk ke asrama,” katanya.

Tambah beliau, bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya yang mempunyai kapasiti untuk menguruskan keseluruhan murid, sekolah boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan 1.

Seterusnya, untuk kolej vokasional, kata Dr. Radzi, sesi persekolahan akan berlangsung tanpa penggiliran mengikut takwim pengajian akademik masing-masing.

Beliau berkata, ini termasuklah untuk Sijil Vokasional Malaysia dan juga Diploma Vokasional Malaysia.

“Bagi kolej matrikulasi, semua murid akan hadir tanpa penggiliran, mengikut takwim akademik masing-masing. Bagi sistem empat semester, yang akan hadir ialah murid semester 2 dan 4 manakala bagi sistem dua semester, yang akan hadir adalah murid semester 2,” katanya.

Dr. Radzi turut menyentuh tentang Institut Pendidikan Guru, penggiliran mengikut takwim kalender akademik meliputi belajar dalam program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, program Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Diploma pasca Siswazah Pendidikan, program Diploma Perguruan Malaysia dan program Intendancy Tambah Opiton.

Berhubung pakaian pakaian seragam sekolah, beliau berkata, adalah digalakkan murid untuk memakai pakaian seragam ke sekolah.

“Namun begitu, kita sedara ada antara anak-anak kita yang pakaian mereka telah tidak sesuai. Oleh yang demikian, untuk murid-murid ini, kita membenarkan mereka hadir ke sekolah dengan memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian,” kata Dr. Radzi.

Menyentuh tentang kehadiran murid seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini, kata Dr. Radzi, “sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

“Namun ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod.”

Ujian Saringan Kendiri untuk murid sekolah rendah, 10 peratus murid sekolah rendah akan menjalani ujian ini dirumah.

“Pihak kementerian akan bekalkan ujian test-kit ini kepada murid dan melaksanakan ujian tersebut di rumah serta melaporkan keputusan ujian kepada pihak sekolah.

“Kita telah laksanakan pendekatan ini pada penggal sebelum ini dan insya-Allah, kita akan gunakan pendekatan yang sama apabila penggal persekolahan bermula pada 21 Mac 2022,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button