NasionalPendidikan

Sekolah mula dibuka 15 Julai dan 22 Julai ikut 3 model pengoperasian

Semua sekolah rendah dan menengah akan dibuka semula secara berperingkat mulai 15 Julai nanti.

Menteri Pendidikan Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sekolah menengah  tingkatan1 hingga 4  serta kelas peralihan dan sekolah rendah tahun 5 dan 6 akan memulakan sesi persekolahan pada 15 Julai.

Manakala bagi murid tahun 1 hingga 4 di sekolah rendah akan bermula pada 22 Julai.

Menurut Dr. Mohd. Radzi, Kementerian telah mengenal pasti 3 model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.

Model pertama adalah Model Satu Sesi. Model ini untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

Model kedua adalah Model Dua Sesi. Model ini untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

Model yang ketiga adalah Model Penggiliran. Model ini untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

Bagi Model Penggiliran untuk sekolah menengah, murid tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari. Manakala kehadiran murid tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

Menurut Dr. Mohd. Radzi, pihak sekolah perlu menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid.

“Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari. Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan.

“Murid Tahun 1 hingga 6 boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap. Dalam hal ini, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian.

“Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah,” kata Dr. Mohd. Radzi.

Menurut beliau, maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.

Sementara itu, murid yang bersekolah asrama akan mula memasuki sekolah pada 24 Jun. Menurut Dr. Mohd. Radzi, pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing.

“Asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.

“Manakala, bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama. Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat atau double decker.

“Pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja. Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah.

“Setelah mengambil kira saranan KKM, secara umumnya, untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari daripada  24 Jun,” kata beliau.

Penawaran kemasukan calon lepasan SPM 2019 ke tingkatan 6 semester 1 Tahun 2020 boleh disemak mulai hari ini melalui portal KPM. Murid akan mula mendaftar pada 15 Julai.

Menurut Dr. Mohd. Radzi pembukaan sekolah dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button