Berita

Sekatan perjalanan tidak akan kekang penularan Omicron

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memberi amaran bahawa sekatan perjalanan menyeluruh tidak akan menghalang penyebaran antarabangsa varian Omicron Covid-19, meskipun berpuluh-puluh negara melaksanakan sekatan sedemikian, lapor Xinhua.

Walaupun melabelkan Omicron sebagai ‘varian membimbangkan, WHO berkata, sekatan perjalanan menyeluruh hanya akan membebankan kehidupan dan punca pendapatan penduduk, di samping ‘menghalang negara-negara daripada melaporkan dan berkongsi data epidemiologi dan penjujukan’.

Varian Omicron pertama kali dilaporkan kepada WHO oleh Afrika Selatan minggu lepas. Setakat ini, beberapa negara dan wilayah mengesahkan kes jangkitan Omicron.

“Varian Omicron dijangka dikesan di lebih banyak negara apabila pihak berkuasa negara meningkatkan aktiviti pemantauan dan penjujukan mereka,” kata WHO dalam nasihat perjalanan yang dikemas kini.

Menurut WHO, sehingga 28 November, 56 negara dilaporkan melaksanakan langkah-langkah sekatan perjalanan yang bertujuan untuk melambatkan import varian baharu itu.

“Semasa sesi negara anggota mengenai varian Omicron pada Selasa, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengucapkan terima kasih kepada Botswana dan Afrika Selatan kerana mengesan dan melaporkan varian ini dengan begitu pantas. Namun amat membimbangkan kerana mereka dihukum oleh pihak lain kerana melakukan perkara yang betul,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan yang diperkenalkan oleh beberapa negara anggota tidak berasaskan bukti dan menggesa negara-negara untuk mengambil langkah pengurangan risiko yang rasional dan bersesuaian, selaras dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa.

Sementara itu, WHO menasihatkan mereka yang tidak sihat atau yang belum divaksin sepenuhnya atau tidak mempunyai bukti jangkitan SARS-CoV-2 sebelumnya dan berisiko tinggi untuk dijangkiti dan mendapat penyakit yang lebih teruk harus dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke kawasan yang mempunyai penularan komuniti.

“Kajian lanjut sedang dijalankan untuk memahami mutasi ini (varian Omicron) dan kesannya terhadap kebolehjangkitan, virulensi, diagnostik, terapeutik dan vaksin,” katanya.- Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button