Nasional

Sekatan Jalan Raya : Pegawai kanan, empat anggota polis cedera dirempuh lori

KUALA LUMPUR, 20 Mac  — Seorang pegawai kanan dan empat anggota polis trafik Kuala Lumpur cedera di beberapa bahagian badan selepas dirempuh sebuah lori ketika membuat sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Syed Putra di sini, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata kejadian berkenaan berlaku kira-kira 12.45 tengah malam.

Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota trafik itu sedang bersiap untuk menutup sekatan jalan raya di jalan berkenaan.

“Bagaimanapun, sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dan beberapa motosikal milik anggota polis trafik itu.

“Hasil siasatan mendapati lori itu dipercayai telah hilang kawalan ketika berada di lorong kiri laluan kedua-kedua kenderaan polis trafik yang diletakkan di bahu jalan untuk tujuan sekatan jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkefly berkata kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan sedang dirawat di zon hijau manakala pemandu lori terlibat tidak mengalami kecederaan.

“Polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya,” katanya.

— BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button