NasionalPolitik

Sekat ke Sarawak, serah memorandum bantah jawi di sekolah

KUCHING: Sebagai bantahan terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan jawi dalam matapelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun hadapan, Gabungan Badan Bertindak Seni Khat (Sekat) hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak.

Setiausaha Sekat Arun Dorasamy berkata memorandum itu diserahkan kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak Dr Azhar Ahmad menerusi satu pertemuan di sini.

“Kami mengetengahkan tentang kegagalan Kementerian Pelajaran dalam mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak.

“Kami juga kurang kepercayaan terhadap Kementerian Pelajaran yang ingin ‘bulldoze’ isu ini dengan agenda tersirat Islamisasi dan politik,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkannya menerusi laman sosialnya.

Memorandum itu katanya turut menggariskan hasrat Sekat agar Bahasa Melayu diperkasakan bagi mengurangkan peratusan pelajar gagal matapelajaran itu di peringkat SPM.

Beliau menegaskan pelaksanaan itu perlu ditangguhkan sementara perbincangan lanjut diadakan agar semua pihak dimaklumkan mengenai motif dan keperluan sebenar.

Malahan, Sekat juga mungkin akan membawa perkara ini ke mahkamah sekiranya bantahan mereka tidak diambilkira.

Menurutnya, pembelajaran jawi wajib di sekolah bercanggah dengan semangat Perlembagaan 152 dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan.

“Sebagai langkah terakhir kami juga mungkin menganjurkan suatu protes melibatkan ibu bapa secara besar-besaran menerusi ‘tidak hadir sehari ke sekolah’,” tegasnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button