Nasional

Segera adakan dialog pengantaraan dengan waris Sultan Sulu

PERTUBUHAN Undang-undang Sabah (SLS) menggesa Putrajaya mengadakan dialog pengantaraan dengan waris Sultan Sulu berhubung arahan Mahkamah Timbang Tara Perancis agar mereka dibayar RM62.59 bilion (USD14.92 bilion).

SLS berkata, “pendamaian atau dialog pengantaraan tanpa prejudis” dengan pihak yang menuntut boleh diadakan seiring dengan percubaan Putrajaya untuk mengetepikan keputusan timbang tara tersebut.

Presiden SLS, Roger Chin menegaskan bahawa proses pendamaian dan pengantaraan bersifat tidak mengikat dan bergantung kepada pendamai atau pengantara yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

“Satu keputusan yang mungkin boleh diterima bersama adalah pendekatan yang menyaksikan sebarang anugerah boleh diselesaikan bersama pada jumlah yang jauh lebih rendah daripada yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekalipun Malaysia berjaya mengetepikan anugerah timbang tara Perancis, ini tidak memberikan penyelesaian undang-undang yang kekal kepada pihak terbabit mengenai cara untuk menangani pertikaian pembayaran berhubung perjanjian 1878.

BACA PAUTAN:

https://suaramerdeka.com.my/malaysia-tak-iktiraf-tuntutan-waris-sultan-sulu-rm62-59-bilion/

Katannya, pendekatan pendamaian yang tidak mengikat seperti itu harus diambil seiring dengan sebarang tindakan undang-undang oleh kerajaan Malaysia untuk menentang atau mengetepikan anugerah timbang tara Perancis.

“Ini sama sekali tidak memudaratkan usaha Putrajaya untuk melindungi kepentingannya,” ujar beliau.

Chin memetik Colin Ong, peguam diraja di London dan penimbang tara bertauliah di Brunei yang bercakap dalam sidang webinar anjuran bersama SLS dan jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur, semalam.

Pada Februari lalu, mahkamah timbang tara Perancis merekodkan keputusan penimbang tara Gonzalo Stampa bahawa Malaysia mesti membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion (USD14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu terakhir.

Stampa memutuskan Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 di antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir wilayah yang kini merupakan Sabah.

Malaysia telah memfailkan permohonan kepada mahkamah timbang tara di Perancis untuk mengetepikan anugerah RM62.59 bilion tersebut. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button