Politik

Sebiji batu Mahathir hanya bunuh satu burung sahaja

TERDAPAT dakwaan mengatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin terlibat dalam percaturan kemelut politik yang berlaku sekarang.

Percaturannya diumpamakan seperti hendak membunuh tiga ekor burung serentak dengan sebiji batu.

Burung yang dimaksudkan adalah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan UMNO.

Sementara sebiji batu itu maksudnya mungkin usul undi tidak percaya yang pernah diberikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Percaturan tersebut juga kemungkinan melibatkan pertemuan Anwar yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada Selasa lalu.

Bermula dengan gerakan tersebut, maka kemelut perebutan kuasa mula berlaku yang akhirnya dijangka akan merugikan ketiga-tiga mereka.

“Soalan paling popular sekarang ini ialah ‘Do you have numbers?’.

“Ramai yang lupa, masa Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai PM (Perdana Menteri) tidak berbangkit pun soal senarai nama.

“Yang penting ialah nombor. Jumlah yang sokong Muhyiddin hanya diketahui apabila berlaku pengundian memilih Speaker. Rupanya Muhyiddin ada 113 sahaja.

“Ada pepatah menyebut ‘Killing two birds with one stone’. Apakah ada pepatah, ‘Bunuh tiga ekor burung dengan satu batu?’.

“Ini yang Tun Mahathir mahu lakukan. Dia lain dari yang lain. Dia mahu bunuh UMNO, Muhyiddin dan Anwar. Bunuh UMNO bermakna bunuh Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah).

“Mahathir terkejut bila Anwar umum dia sudah cukup nombor untuk menjadi PM. Mahathir bertambah gerun bila UMNO mahu bagi ultimatum kepada Muhyiddin.”

Demikian ulasan diberikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau mendakwa Dr. Mahathir berbuat demikian kerana khuatir hilang pengaruh terhadap kepimpinan kerajaan.

Malah, Ahli Parlimen Langkawi itu juga dikatakan cukup risau sekiranya tidak dapat berkuasa lagi kerana sebarang langkah yang diputuskan oleh UMNO akan menamatkan pengaruhnya.

Walau bagaimanapun, beliau pernah dinasihatkan supaya terus kehadapan dan mengenepikan sengketa yang ada dengan pemimpin-pemimpin lain.

“Semua itu kalau berlaku akan menamatkan riwayat politik Mahathir. Meminjam ayat Kadir Jasin, Mahathir tidak tahu nak hidup tanpa kuasa.

“Dalam senarai Anwar, pasti tidak ada nama Mahathir. Tetapi mungkin ada nama Maszlee, Dr Shaharuddin dan Amiruddin.

“Sebab itu dalam satu perjumpaan tertutup, Mahathir tanya Anthony Loke dan Khalid Samad, Anwar ada cukup nombor ke? Itu tanda Mahathir risau dan rancang game lain.

“Anthony Loke mencadangkan kepada Tun M, supaya move on. Terima sahajalah kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang ada. Beri sokongan dan bantu terutama dengan ancaman Covid-19,” ujarnya.

Tambah beliau, Muhyiddin kini juga berada dalam perangkap seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’ dan perlu mencapai apa sahaja untuk mengekalkan kedudukannya.

Namun, hal demikian tidak akan berlaku susulan UMNO mengenakan terma baharu untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri terutama menjelang pembentangan Belanjawan 2021.

“Sekarang ini cerita Ku Li mengadap Yang di-Pertuan Agong menimbulkan banyak tanda tanya.

“Adakah dia beritahu Tuanku, ‘Saya juga cukup nombor’ atau dia mahu maklumkan kaedah undi tidak percaya akan digunakan.

“Kalau Muhyiddin tolak terma baru dari UMNO, Muhyiddin habis. Jika Muhyiddin terima, Mahathir habis, Anwar pun habis.

“Sampai masanya Mahathir dibiasakan untuk terus hidup tanpa kuasa.

“Kesimpulannya, kini dengan sebiji batu, Tun mampu membunuh seekor burung sahaja, iaitu Anwar. Insyaallah UMNO terus hidup,” Mohd. Puad menelah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button