Politik

Sebarang keputusan mengenai MoU Kerajaan-PH perlu dibincangkan secara rasmi

SEBARANG keputusan dan isu berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) perlu dibincangkan secara rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan tertinggi gabungan itu, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam catatan di akaun Facebooknya, Loke berkata keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak meneruskan MoU selepas 31 Julai adalah antara Perdana Menteri dan partinya.

“Perlu ditegaskan bahawa MoU itu adalah persefahaman antara PH dan Kerajaan Pusat dan bukannya dengan Kepimpinan UMNO. Oleh itu, kita tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Terdapat juga perbezaan pendapat di kalangan pihak dalam blok kerajaan berhubung garis masa MoU seperti yang dilaporkan media,” katanya.

Pada 14 April, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Majlis Kerja Tertinggi parti tidak bersetuju untuk melanjutkan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, yang bakal tamat pada 31 Julai.

MoU yang ditandatangani Ismail Sabri dan pemimpin PH pada September tahun lalu antara lain menyatakan kerajaan bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Mengulas lanjut, Loke berkata bagi PH, isu paling penting sekarang ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang dinyatakan dalam MoU, khususnya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum pembubaran Parlimen.

Sementara itu, Loke berkata dalam Pemukiman Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah pun memberi arahan supaya jentera pilihan raya parti bersedia sepenuhnya menjelang Ogos.

“Saya yakin DAP dan PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal Ogos ini,” katanya. – SM

Catatan di akaun Facebook rasmi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook semalam.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button