Sukan

Schumacher ikuti perkembangan karier anak lelakinya – Todt

Kenyataan Todt itu memberi gambaran legenda F1 itu kini sudah sedarkan diri

LEGENDA Formula Satu (F1), Michael Schumacher mengikuti perjalanan karier anak lelakinya yang bakal berlumba dalam F1, dakwa sahabat baiknya yang juga merupakan bekas ketua Ferrari, Jean Todt.

Kenyataan daripada Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) itu secara tidak langsung memberi petunjuk paling kuat bahawa Schumacher telahpun sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan yang mengubah seluruh kehidupannya pada 2013.

Ikon sukan permotoran tersebut ditimpa kecederaan otak sewaktu bermain ski tujuh tahun lalu ketika bercuti di French Alps dan sejak itu, dia dijaga rapi oleh keluarganya.

Todt, yang menikmati kejayaan besar sewaktu bersama Ferrari di samping juara dunia tujuh kali, Schumacher, kerap melawat legenda Jerman tersebut dan baru-baru ini berkata, sahabat lamanya itu masih bergelut untuk sembuh.

Keadaan kesihatan Schumacher yang masih tidak diketahui statusnya, tetapi meneruskan pemulihan jangka panjang di sebuah vila mewah bernilai AS$40 juta (RM164 juta) di Majorca yang dibeli isterinya, tiga tahun lalu daripada Presiden Real Madrid, Florentino Perez, dikatakan memantau perkembangan karier anak lelakinya dari katil pesakit.

Mick, 21, kini berlumba dalam Formula 2 FIA, tetapi diberi bayangan bakal mengikut jejak bapanya beraksi dalam Formula 1 bersama Haas, tahun depan.

Ketika ditanya sama ada Schumacher berupaya mengikuti perkembangan karier anaknya, Todt memberitahu RTL Perancis: “Susah tentu dia memantau perjalanan karier anaknya.

“Mick mungkin akan berlumba dalam Formula 1, tahun depan yang mana ia bakal memberi cabaran hebat kepadanya. Kita sepatutnya berasa gembira dapat menyaksikan Schumacher baharu, bersaing dalam perlumbaan pemotoran di peringkat tertinggi.”

Todt, 74, bagaimanapun, masih keberatan untuk berkongsi sepenuhnya tentang keadaan Schumacher, sebagai menghormati ruang peribadi keluarga bekas juara dunia itu, sewaktu diajukan pertanyaan lanjut mengenai perkembangan terkini ikon F1 tersebut.

“Soalan ini lebih baik saya simpan sendiri. Saya kerap bertemu dengan Michael, sekali atau dua kali sebulan. Jawapan saya masih tetap sama, dia sedang berjuang.

“Dia dijaga dengan rapi dan berada dalam keadaan yang sangat selesa. Kita hanya boleh berdoa untuknya dan juga keluarga agar kesihatannya semakin baik,” tambah Todt.

Sebelum ini, Todt pernah berkata, dia menonton televisyen bersama Schumacher sewaktu melawatnya. Bagaimanapun, pada September lalu, seorang pakar bedah saraf terkenal, Erich Riederer mendakwa, Schumacher kemungkinan berada dalam keadaan vegetatif dan peluangnya untuk sembuh sepenuhnya amat kecil.

Namun, pakar berkenaan tidak pula menjelaskan sama ada dia ada melawat Schumacher atau ia sekadar pandangannya.

Pada awal tahun ini, Schumacher yang berada dalam keadaan koma selama enam bulan selepas kemalangan menimpanya, telah menjalani pembedahan sel stem yang dilaksanakan oleh seorang doktor yang dihormati dalam usaha menghidupkan semula sistem sarafnya.

Pada ketika ini, masih tidak diketahui sama ada pembedahan tersebut ada berlaku ataupun Schumacher mendapat manfaat daripada usaha berkenaan.

Sepanjang kariernya yang gemilang, Schumacher telah mencipta rekod 91 kemenangan dalam perlumbaan F1 dan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton berjaya menyamai serta mengatasi pencapaian itu, awal bulan ini.

Minggu lepas pula, Hamilton berjaya menyamai rekod tujuh gelaran dunia F1 selepas menjuarai Grand Prix Turki. – Daily Mail – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button