NegeriPolitik

Sayang rakyat, PRN Sarawak boleh tunda tahun depan

JIKA tidak kerana penularan pandemik Covid-19, rakyat negeri Sarawak mungkin telah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini. Wabak itu yang dikesan pada penghujung 2019 selepas penularan berlaku di Wilayah Wuhan, China merebak pantas di Malaysia menjelang Mac lalu.

Ia menyebabkan aktiviti di Sarawak hampir terhenti selama tiga bulan berikutan tumpuan kerajaan negeri terarah pada usaha meringankan bebanan rakyat.

“Sebenarnya kami mahu adakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 lebih awal tetapi menangguhkannya kerana kami lebih sayangkan rakyat berbanding pilihan raya,” kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.

PRN ke-12 merupakan topik paling hangat dibincangkan oleh rakyat di Bumi Kenyalang ini sejak dua tahun lalu ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-11 menginjak hari-hari terakhir sebelum penggal tamat.

Penggal selama lima tahun DUN ke-11 bermula pada 8 Jun 2016 usai PRN yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) Sarawak di bawah pimpinan ketua menteri pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem  mencatat  kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Antara isu utama yang dibangkitkan sepanjang PRN itu ialah menuntut semula hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan setiap parti yang bertanding berlumba-lumba mencari sokongan menerusi eksploitasi isu berkenaan.

Sejak itu, suara menuntut pemulangan hak Sarawak semakin lantang kedengaran dan di bawah kepimpinan Adenan, kerajaan negeri memulakan usaha merundingkan pengembalian hak-hak tersebut dengan kerajaan persekutuan selepas menerima sokongan sebulat suara DUN.

Usaha itu diteruskan oleh Abang Johari yang menerajui kerajaan negeri selepas Adenan meninggal dunia pada Januari 2017. Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat sekali gus menjadikan Sarawak negeri pembangkang.

Melihat kepada perkembangan politik nasional, empat parti utama negeri iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bertindak keluar BN.

Mereka membentuk gabungan peringkat negeri yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan perjuangan mereka menuntut hak-hak negeri.

Antara hak tersebut ialah menguatkuasakan  Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 ke atas Petronas dan Sarawak memulakan 2020 dengan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuching menuntut syarikat minyak negara itu melangsaikan bayaran cukai.

Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan persekutuan pada akhir Februari apabila kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan berkuasa dan digantikan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) serta parti sekutu, tuah mula memihak kepada Sarawak dan Petronas bersetuju menyelesaikan isu itu. Akhirnya satu perjanjian  penyelesaian komersial ditandatangani pada 7 Disember lalu.

Pemeteraian perjanjian itu merupakan satu lagi pencapaian kerajaan GPS dalam usaha mendapatkan semula hak Sarawak di bawah MA63. Ini kerana perjanjian tersebut membuka laluan bagi kerajaan negeri memperhebat penglibatannya dalam eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas di Sarawak.

Di sebalik kekangan penularan pandemik, Sarawak tetap berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang mana UOB Financial Research dan Markets melaporkan FDI bernilai RM15.8 bilion dicatatkan oleh Sarawak dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Kejayaan-kejayaan ini serta kejayaan membendung penularan Covid-19 termasuk meringankan bebanan rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya meningkatkan keyakinan GPS ketika mengorak langkah memasuki 2021. Selain bersedia menghadapi PRN ke-12 yang harus diadakan pada tahun depan iaitu sebelum 7 Ogos 2021.

Dari segi penularan Covid-19 di Sarawak, jumlah kumulatif kes positif setakat semalam (23 Disember)  ialah sebanyak 1,094 kes dengan 19 kematian berbanding peringkat nasional yang mencatatkan jumlah terkumpul 98,737 kes dengan 444 kematian. – BERNAMA

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button