AgamaNasional

“Saya puas hati persiapan Tabung Haji” – Na’m

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan rasa puas hati atas komitmen yang diberikan oleh seluruh kakitangan Tabung Haji yang menguruskan pendaftaran jemaah haji bagi tahun ini.

“Alhamdulillah setelah melihat sendiri persiapan Tabung Haji, saya sangat berpuas hati, semoga usaha dan pengorbanan mereka ini diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

“Tabung Haji sendiri telah beroperasi lebih 60 tahun, jadi sebarang kekurangan sebelum ini akan diperbaiki dari masa ke semasa bagi memastikan semua jemaah yang terpilih dapat pergi menunaikan ibadah sesuai masa yang ditentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan mengejut ke Bahagian Operasi Domestik Haji, malam tadi.

Pelepasan pertama bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini dijangka pada 21 Mei 2023.

Mohd Naim turut kagum dengan kakitangan Tabung Haji yang bertungkus lumus memastikan kelancaran perjalanan para jemaah Malaysia bagi tahun ini.

“Di kesempatan ini saya juga ingin memuji pihak pengurusan dan seluruh kakitangan Tabung Haji yang bersengkang mata siang dan malam bagi memastikan urusan pendaftaran jemaah berjalan lancar.

“Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa tidur disini bagi memastikan pendaftaran semua jemaah dapat dilakukan tepat dan mengikut masa yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijah dijangka pada hari Selasa, 27 Jun ini.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia membabitkan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button