Nasional

‘UPSI Innovation Challenge 2023’ medan perkongsian inovasi, teknologi dalam pendidikan.

DEMI merancakkan sokongan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan UPSI Innovation Challenge 2023 (UIC2023) yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah.
Program yang padat dengan pelbagai forum perkongsian seperti amalan terbaik kaedah pengajaran (pedagogi) serta lebih 34 pempamer daripada pelajar UPSI dan 4 pempamer jemputan sekolah produk inovasi sekitar daerah ini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Chang Lih Kang, MOSTI sentiasa membantu usaha kerajaan mengarusperdanakan agenda inovasi seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2030.
“Inovasi, penggerak utama kemajuan, adalah proses kreatif mencari cara baru untuk memperbaiki atau mencipta produk atau perkhidmatan sera merangkumi idea-idea kreatif dan inovatif yang berpotensi untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi, serta memperkasa pendidikan masa depan.”
Chang Lih Kang bersama warga UPSI dan sekolah yang menyertai UPSI Innovation Challenge 2023 (UIC2023).
“Penyertaan aktif pelajar-pelajar dari sekolah rendah dan menengah dalam program ini sangat menggalakkan dan membanggakan, kerana mereka adalah modal insan masa depan kita,” jelasnya semasa ucapan perasmian UIC 2023 dan Perkongsian Amalan Terbaik Pedagogi sempena Karnival Hari Guru Peringkat UPSI 2023 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata karnival yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Mei 2023 itu turut menghimpunkan ramai pakar rujuk dalam bidang pedagogi yang memberikan perkongsian untuk meningkatkan inovasi dalam bidang pendidikan antaranya daripada Pengetua Cemerlang, SMK Saujana Utama Sungai Buloh, Noor Hayati Embong dan Guru Cemerlang SMK Kampar, Aznin Awanis Azmi.
“Pada keesokan hari kemuncaknya pula, akan berlangsung Wacana Pendidikan Madani, bakal menampilkan para cendekiawan dalam bidang pendidikan iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Aminah Ayob, Profesor Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Othman Lebar selama hampir dua jam di sini,” jelasnya dalam ucapan aluan.
Pada majlis sama, Lih Kang turut menyampaikan Anugerah Emas Inovasi Terbaik kategori sekolah kepada peserta iaitu Sekolah Kebangsaan Datuk Nan Kaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, Sekolah Kebangsaan Perlok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Besout. Masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM300, plak cenderahati, sijil dan hamper iringan.
Bagi kategori UPSI pula, kumpulan mahasiswa daripada pengajian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, dengan inovasi ‘Foodpedia’ yang direka khusus untuk membantu para guru dan ibubapa memperkenal makanan berkhasiat kepada kanak-kanak berdasarkan panduan piramid makanan terkini mengungguli ‘Best of The Best’ Anugerah Inovasi Emas terbaik daripada enam lagi kumpulan penerima Anugerah Emas Inovasi Terbaik.
Kumpulan Foodpedia membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, plak cenderahati, sijil dan hamper iringan.
Sementara itu Pengarah Program, Ikhwan Ramli yang juga merupakan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, program seperti ini merupakan medium yang terbaik dalam mengetengahkan dan mencungkil bakat pelajar dalam bidang inovasi.
Program ini juga bertujuan untuk menerapkan amalan pedagogi berkesan, terutamanya dalam proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. – SM
(Visited 372 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button