Nasional

“Saya berani bersumpah…” Wan Norhayati (Ibu Yati)

PENERIMA Anugerah Kajai dan pemilik 25 lagi anugerah termasuk  Ahli Mangku Negara (AMN), Wan Norhayati Wan Alias, 40, berani bersumpah bahawa beliau tidak mewujudkan ajaran atau pun agama baharu seperti mana yang didakwa.

Wan Norhayati atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati berkata, beliau masih berpegang kepada Islam cuma mahu membetulkan kenapa Islam di Malaysia berbeza-beza amalannya.

“Tidak  ada ajaran Ibu Yati, tidak ada agama baru. Saya tidak wujudkan Agama Melayu. Ini satu pembohongan dan fitnah ke atas saya, satu tohmahan.  Saya tidak pernah wujudkan apa-apa ajaran baru atau Ajaran Melayu.,” katanya dalam temubual telefon secara eksklusif dengan wartawan SUARA MERDEKA hari ini.

Wan Norhayati menganggap, palitan yang berlaku ke atas dirinya merupakah satu tohmahan oleh pihak sana bagi mengalihkan isu.

Beliau berkata, sebagai sebuah Yayasan dakwah, janganlah mengambil pendekatan atau ‘cop’ terus sebagai sesat.

“Panggil saya. Tanya saya. Yayasan dakwah sepatutnya mengambil pendekatan lebih berhemah. Terima satu berita, semak dulu. Siasat dulu. Bertanya. Jangan ambil bulat-bulat.

“Segala perspektif negatif kini dilemparkan ke atas diri saya. Justeru saya mohon media tidak berat sebelah. Dapatkan juga penjelasan daripada saya,” katanya.

Katanya lagi, di bawah Perlembagaan, beliau ada hak dan terdapat tiga jenis undang-undang di negara kita yang terletak di bawah Perlembagaan.

“Saya berani bersumpah atas nama Tuhan dan saya berani tampil untuk membuat ujian poligraf bagi mengesan sama ada, terdapat pembohongan dalam apa yang saya katakan.

“Saya juga minta pihak sana tampil membuat ujian poligraf ini bagi menjelaskan bahawa apa yang dinyatakan bukan bermaksud untuk memfitnah saya,” katanya.

Wan Norhayati turut berpendapat, ada yang akan menggunakan isu agama untuk meraih sokongan.

“Jangan jadi penunggang agama. Kita tahu keadaan politik di negara kita tidak stabil. Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak kebelakangan ini sentiasa mendapat desakan untuk meletakkan jawatan.

“Jadi apabila masing-masing mahu menyelamatkan diri, direka atau create isu dan semalam, satu laporan polis telah saya buat berhubung fitnah yang menimpa diri saya.

“Setakat ini, tidak ada mana-mana pejabat agama yang menghubungi saya. Apa yang boleh saya nyatakan di sini, bertanyalah dahulu apakah video yang telah dirakam dan ditularkan itu. Apakah ia satu dokumentari pendek? Adakah ia satu rakaman video lakonan untuk menaikkan rating di Youtube atau apakah adat istiadat yang ada dalam rakaman video berkenaan?,” kata Wan Norhayati.

Beliau tidak menafikan dirinya  adalah peniaga barang-barang antic dan mahu mempromosikan barangan yang dijual.

“Ya memang saya tengah jual barang barang antik. Nak promosi barang.

“Tentang visual yang memalu gong. Adat itu walaupun ramai tidak tau. Memalu gong Raja-raja Melayu. Saya sudah tengok dan teliti. Ada salah sebut? Tidak ada.

“Saya juga tak pernah sebut ada agama baru. Apa yang saya lakukan ialah menceritakan balik sejarah. Bukan agama baru. Dahulu sebelum kedatangan Islam, ada Hiduism dan Kristian. Jadi visualnya ialah adat memalu gong. Itu sejarahnya,” jelas beliau.

Menjawab soalan berhubung anugerah Kajai yang dimenanginya suatu ketika dahulu, disarankan ditarik balik, begini jawapan Wan Norhayati:

“Anugerah diberi muktamad. Tak boleh dipertikaikan. Itu tidak adil. Itu adalah penghargaan atau recognition ketika saya memberi sumbangan dalam bidang media.

“Anugerah-anugerah yang saya terima, tak ada kaitan dengan isu peribadi. Pendapat peribadi.

“Betullah. Jangan kaitan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan ke atas diri saya dengan bidang kewartawanan.  Sumbangan saya ketika memberi jasa dalam bidang kewartawanan, tidak adil jika ditarik balik,” katanya sambil menambah, Anugerah Kajai diterimanya pada tahun 2014. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button