Rencah Hidup

Saya bangga kerja kutip sampah- Shahrul Nizam

BERPEGANG kepada konsep do or die, Datuk Mohd. Shahrul Nizam Mustafa tidak berpaling lagi kearah usahanya untuk meneruskan perniagaan dalam bidang pengurusan sisa alam sekitar dan sisa pepejal yang dilihatnya berpotensi.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan Afbatni Resources Sdn. Bhd.  itu mula menimba ilmu dalam bidang tersebut sejak tahun 2000 ketika menjawat jawatan sebagai penyelia di syarikat Alam Flora Sdn. Bhd.

“Ketika itu gaji hanya RM900 sebulan dan saya berfikiran sampai bila perlu makan gaji selain perlu menampung kehendak keluarga yang semakin bertambah.

“Jadi, saya nekad untuk berhenti kerja dan berusaha untuk menjadi usahawan dalam bidang kerana ia merupakan bisnes yang boleh pergi jauh untuk jangka masa panjang kerana sampah dihasilkan oleh semua orang setiap hari,” katanya  pada sesi temubual bersama media di pejabatnya di Klang baru-baru ini.

Menurut statistic yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2007, lebih daripada 19,000 tan sampah dihasilkan setiap hari di Malaysia.

Untuk statistik terkini pula, rakyat di negara ini menghasilkan kira-kira 38,000 tan sisa setiap hari dengan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) dijana bagi setiap individu.

Jumlah tersebut dianggarkan terus meningkatseiring pertambahan populasi.

Shahrul Nizam memulakan perniagaannya tanpa sebarang modal dan ini  merupakan satu cabaran dan kekangan yang dihadapinya ketika memulakan perniagaan 12 tahun lalu tetapi ia disokong oleh semangat beraninya untuk mencuba.

Anak kelahiran  Rembau, Negeri Sembilan ini gigih ‘turun naik’ pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menghantar tender bagi merebut peluang-peluang projek yang ditawarkan.

Beliau tidak jemu-jemu menghantar dan menunggu jawapan bagi 10 tender dan seterusnya bertambah kepada 50 tender yang dihantarnya.

“Siapalah saya pada ketika itu tetapi saya tetap berusaha, tanpa jemu terus mencari peluang mendapatkan projek daripada PBT.

“Akhirnya pada tahun 2008, saya mendapat satu projek di Pandamaran, Klang dan ia merupakan satu kawasan yang padat dengan menempatkan zon komersial, taman perumahan, perkampungan tradisional dan juga pasar.

“Dari situ, saya memulakan operasi dengan menyewa lori  dengan tanpa sebarang modal,” katanya.

Shahrul Nizam menjelaskan, ketika itu, beliau memulakan kerja seawal tiga pagi setiap hari dengan memandu lori mengangkut sampah dan dibantu oleh dua pekerjanya.

Beliau yang turut ringan tulang melunaskan tanggungjawab yang diberikan itu berjaya membayar balik wang sewaan lori dan kos projek ‘sulung’nya itu selepas enam bulan beroperasi.

Minat yang mendalam telah membuahkan hasil apabila syarikatnya kini tersenarai sebagai salah sebuah kontraktor bumiputera utama dalam bidang pengurusan sisa alam sekitar dan sisa pepejal utama di Lembah Klang.

Lebih manis lagi, jika 12 tahun lalu, beliau melabur hampir RM100,000 untuk membeli sebuah lori mengangkut sampah, tetapi kini syarikat memiliki sehingga 30 buah lori untuk operasi hariannya.

Disokong oleh kira-kira 200 pekerja bawahannya dan 20 pekerja di bahagian pentadbiran melancarkan lagi operasi Afbatni Resources sehingga syarikat berkenaan mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan komprehensif yang berkaitan dengan skop pembersihan, pengurusan sisa alam sekitar dan sisa pepejal.

Bermula dari Pandamaran, kawasan ‘jajahannya’ kini diperluaskan ke Petaling Jaya, Shah Alam, Selayang dan Kajang.

Shahrul Nizam, 45, yang hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia itu tidak pernah berasa jijik dengan sampah yang diuruskan kerana ia merupakan satu bidang pekerjaan yang halal.

Anak sulung daripada tiga adik beradik itu  yang kebal dengan bau sampah dan tidak pernah jatuh sakit kerana sampah itu, melihat ia satu kerja murni untuk membantu masyarakat.

Bayangkan jika beliau dan para pekerjanya tidak melakukan aktiviti harian dalam pengurusan sampah maka akan timbullah satu risiko besar buat persekitaran dengan timbunan sampah, bau busuk dan seterusnya mengundang kunjungan binatang pembawa penyakit dan berbisa sekali gus bakal merebakkan penyakit kepada masyarakat.

“Biasalah mentaliti masyarakat terhadap sampah dan juga kepada orang yang bekerja menguruskan sampah, mereka tiada hormat dan melihat kami seperti sampah, ia bukan dianggap sebagai satu bidang professional seperti yang terdapat di negara-negara maju,” jelasnya.

Disebabkan sikap negatif masyarakat, beliau  pernah menemui kepala khinzir yang tidak sepatutnya dibuang di dalam tong sampah selain janin oleh para pekerjanya.

Namun, disebalik kekhilafan masyarakat dalam membuang barangan yang tidak berguna, ada juga yang pernah terbuang barang kemas dan juga wang ringgit yang diselit di dalam bahan buangan tersebut.

Tambah beliau, jadual pengurusan sampah sedia ada perlu diikuti mengikut kawasan perumahan dan komersial secara teratur sementara perlu akur dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh PBT .

Bagi mengalakkan para pekerjanya terus komited dalam tanggungjawab yang diberikan, maka hal ehwal dan kebajikan mereka  adalah satu perkara yang menjadi tumpuan dan fokus syarikat.

“Disebabkan itu, saya tidak pernah bercuti dan keluarga sudah sedia maklum dengan perihal kerja saya kerana kami perlu mengangkut sampah setiap hari .

“Apabila  cuti hari raya, selepas solat di pagi raya, saya akan mula bekerja kerana saya akan memberi peluang kepada  kakitangan saya untuk bercuti dan pulang ke kampung,” ujarnya.

Bila menyebut tentang keluarganya, sistem sokongan daripada isteri, Datin Hasnah Abdul Samad,45 bersama empat orang anaknya menjadi penguat semangat bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Mereka tidak pernah berasa malu dan jijik dengan pekerjaan saya malah anak-anak turut berbangga kerana melalui duit daripada ‘sampah’, mereka dibesarkan dan mengubah kehidupan mereka,” ujarnya.

“Itu lori bapa saya,” tunjuk anaknya kepada rakan sekolah jika lori mengangkut sampah melintas di hadapan sekolah mereka.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, beliau yang akan menjadikan bisnes ini sebagai perniagaan terasnya untuk jangka masa panjang turut berminat untuk meneroka dalam pengurusan haji dan umrah.

Perancangan awal sedang dirangka dan optimis untuk memulakan perniagaan tersebut mulai tahun depan.

“Apa yang kita dapat (rezeki) , tidak sepatutnya disimpan, jadi kita perlu bersedekah,” jelas beliau sambil menambah, syarikat telah  menghantar kakitangannya mengerjakan umrah setiap tahun kerana itulah amal ibadat yang boleh dikongsikan dengan mereka. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button