Belang Bertempat

Satu undi Zahid, bermakna satu undi untuk Anwar jadi PM

TIGA tahun lalu tercetus idea jajaran baharu iaitu gabungan UMNO dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun usaha itu berjaya dipatahkan oleh beberapa pihak. Masih ingatkah lagi adegan Anwar Ibrahim mendakwa sudah mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri.

Selepas itu terdedah surat sokongan kepada Anwar, tetapi telah dinafikan oleh Zahid Hamidi, walaupun hakikatnya surat itu adalah benar.

Gerakan itu gagal apabila beberapa orang dari kumpulan 15 ahli parlimen menarik sokongan kepada Anwar.

Dr. Mahathir Mohamad menyedari beliau akan disingkirkan oleh kumpulan berkenaan bagi membolehkan Anwar dijulang sebagai perdana menteri telah meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan dan Muhyiddin Yassin muncul sebagai penyelamat bersama-sama para pemimpin UMNO dan Pas.

Hasrat Anwar dan Zahid tidak terhenti setakat itu, mereka berusaha menjatuhkan Muhyiddin pula, tetapi kali ini Ismail Sabri Yaakob pula menjadi penyelamat bersama-sama pemimpin UMNO yang menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Namun akhirnya Ismail Sabri terpaksa akur terhadap tekanan Zahid untuk mengadakan pilihan raya awal dengan alasan ini masa yang sesuai untuk menang besar kerana mood pengundi positif terhadap UMNO.

Memang betul laporan sebelum pembubaran parlimen UMNO bakal menang sekitar 70 kerusi parlimen, bagaimanapun jumlah itu merosot di bawah 50 kerusi apabila senarai calon diumumkan.

UMNO ibarat menggelupur di dalam kubu masing-masing.

Penyandang kerusi “heavyweight” telah digugurkan seperti Shahidan Kassin, Noh  Omar dan Annuar Musa sekadar menyebut beberapa nama dan diganti dengan calon yang tidak popular dan memang ditolak akar umbi.

Tujuan Zahid berbuat demikian adalah untuk memastikan Barisan Nasional kalah dan akhirnya terpaksa akur dengan jajaran baharu.

Paling malang Khairy Jamaluddin, beliau tidak digugurkan, tetapi dicampak ke kandang harimau untuk dibaham di Sungai Buloh yang merupakan kubu kuat PKR.

Lebih baik pemimpin yang digugurkan jadi tidaklah perlu bertungkus-lumus, apatah lagi kebanyakan mereka sudah dalam proses untuk turun, cuma Zahid memburukkan keadaan dengan menolak para pemimpin berkenaan jatuh tangga dan tersungkur.

Setelah itu Zahid meletakkan calon memang tidak ada peluang langsung untuk menang. Apabila kalah kelak Zahid akan menyalahkan para pemimpin senior berkenaan kerana tidak membantu calon muka baharu.

Muka-muka baharu ini selain tidak mempunyai sokongan akar umbi mereka juga tidak mempunyai dana untuk berkempen. Hendak membeli buluh untuk dipasang bendera pun mereka tidak mampu.

Setiap kali tampil di pentas berkempen, lebih banyak dibooo dari yang menyokong.

Individu yang ditipu hidup-hidup dan kini meringkuk di dalam penjara ialah Bossku, Najib Razak.

Sudahlah beliau dipaksa meletakkan jawatan selepas BN kalah pada pilihan raya lalu, bagi menjayakan jajaran baharu dan kini beliau kehilangan segala-galanya.

Mengikut perancangan jajaran baharu ini ialah Anwar akan menjadi perdana menteri dan Zahid sebagai timbalan perdana menteri. Kes Zahid digugurkan dan Najib diampunkan.

Pengiraan mudah adalah Pakatan Harapan menang sekitar 80 kerusi dan BN 40 kerusi dicampur GPS dan beberapa kerusi gabungan Sabah sudah cukup untuk Anwar diangkat sebagai perdana menteri.

Sebab itu calon UMNO diwajibkan berbaiah dengan Zahid untuk menyerahkan urusan sokongan membentuk kerajaan kepada presiden dan bukan parti.

Para pemimpin dan ahli UMNO kini terperangkap dengan permainan licik Zahid dan Anwar untuk menjayakan jajaran baharu ini.

Rafizi Ramli yang merasakan berjaya mengawal parti PKR pun tidak sedar akan helah ini, kerana beliau sebelum ini berada di luar parti.

Maka akan terbentuklah kerajaan Barisan Harapan. Era baharu di mana UMNO dan DAP yang sekian lama bermusuh, akhirnya berpelukan.

Benarlah dalam politik tidak ada musuh yang abadi, hanya masa yang menentukan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button