Politik

Azlan Man main karom dengan anak muda semasa lawat Bilik Gerakan

MB mesra, berjiwa rakyat

SERONOKNYA pengundi muda di Bilik Gerakan Kawasan Bintong Selatan, Perlis apabila berpeluang bermain karom bersama-sama dengan Menteri Besar.

Datuk Seri Azlan Man yang tiba untuk melawat bilik gerakan ini telah mengambil kesempatan untuk mencuba permainan ini bersama dengan mereka.

Walaupun agak kekok mulanya, percubaan Azlan ini mengujakan kalangan pengundi muda yang dapat bersua muka lebih dekat dengan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Azlan juga penyandang kerusi DUN Bintong akan berdepan dengan lima lawannya termasuk seorang Pengarah Filem.

Ketika ditemui media, Azlan Man berkata, sebanyak 30 cawangan UMNO di DUN Bintong telah dibuka dengan sepenuhnya.

Katanya, enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga telah siap dibuka.

Beliau berharap pengundi terus memberikan kepercayaan kepada BN yang telahpun menunjukkan keupayaan dalam pentadbiran di Perlis.

Sementara itu, Ketua Bilik Gerakan ini, Rosmuna Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Cik Muna berkata, ia telah dibuka sejak dua minggu lalu.

Katanya, bagi menarik pengundi muda beliau menganjurkan pertandingan bermain karom dan dam ular.

“Kita mahukan anak muda datang ke bilik gerakan sekaligus melihat dengan lebih jelas kepimpinan BN,” katanya.

Selain itu, Cik Muna yang suka memasak ini menyediakan pelbagai masakan untuk menarik pengundi ke bilik gerakan ini.

Pada pertandingan dam ular, johan disandang Haliza Ishak, kedua Lidiya Damia Azrimy dan ketiga Rosni Ibrahim.

Manakala johan pertandingan karom berpasangan pula dimenangi Mohd Razi Idris dan Azuwati Saad, tempat kedua
Mohd Haziq Shahimi dan Piee Kasa dan ketiga Imran Ahmad dan Aqil Imran. – SM

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button