Satu jam Hannah Yeoh disoal penyiasat Bukit Aman
Telefon bimbit, kata laluan akaun FB dan Twitter diserah kepada polis
AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh selesai memberi keterangan kepada polis Bukit Aman hari ini selama satu jam. Pemimpin DAP itu turut menyerahkan telefon bimbit dan kata laluan kepada akaun Facebook dan Twitternya.
Tindakan itu dilakukan olehnya berhubung siasatan yang dilakukan terhadap bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), suatu muat naik di Facebook yang dikaitkan dengannya.
Siasatan terhadap Hannah juga dilakukan ekoran catatan di Twitter yang dikaitkan dengan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur. Insiden itu berlaku tiga bulan lalu.
Hannah yang ditemani peguam Gobind Singh Deo, mengucapkan terima kasih di atas sikap profesional dan integriti tinggi yang ditunjukkan oleh pihak polis pada sesi soal siasat hari ini.
“Saya sudah berikan kerjasama pada polis,” katanya selepas satu jam disoal penyiasat hari ini.
Hannah disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan berkenaan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkenaan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Berkenaan dengan suatu muat naik di Facebook, beliau memaklumkan kepada polis bahawa muat naik itu merupakan “kenyataan palsu yang saya tidak pernah cakap” dan “dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ini juga sudah dijelaskan melalui media sosial saya pada 11 Mac,” kata Hannah.
Sementara itu, Gobind berkata, “Jika mereka (polis) perlu bantuan lagi, mereka akan hubungi kita.
“Kita harap polis dapat melakukan siasatan dengan secepat mungkin.”
Berkenaan catatan di Twitter, yang dibuat pada 9 Mac lalu, Hannah dilaporkan mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Yusof daripada PAS.
Pelan itu, yang dilancarkan pada Januari bertujuan untuk memastikan peraturan, garis panduan dan undang-undang di peringkat negeri sejajar dasar persekutuan dan mengandungi enam faktor yang dikenal pasti punca perkahwinan kanak-kanak seperti kemiskinan dan kekurangan akses kepada pendidikan.