Nasional

Sarawak bakal beri diskaun elektrik bersasar dalam usaha menurunkan harga makanan

KERAJAAN Sarawak akan memberikan diskaun tarif elektrik kepada pengeluar dan peruncit makanan untuk mengurangkan kos perniagaan mereka, sekali gus menurunkan harga pasaran makanan.

Tanpa menyebut secara khusus kadar diskaun itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengusaha kedai kopi, restoran dan pemain industri makanan dan minuman akan menjadi antara golongan yang boleh menjangkakan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Kerajaan Sarawak akan campur tangan dalam lingkungan kuasa kita dan cara untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup terutamanya terhadap harga makanan kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri.

Langkah lain, Abang Johari berkata, Kabinet negeri akan berunding dengan pengeluar silinder yang digunakan untuk menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bagi menurunkan harga silinder, yang akan membawa kepada penurunan harga runcit LPG.

“Kami dapat mengawal pengagihan gas, termasuk LPG, di bawah Ordinan Pengagihan Gas. LPG adalah barangan terkawal dan harganya ditetapkan untuk seluruh Malaysia di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (dengan) harga isi rumahnya disubsidi sehingga 50% oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mengambil maklum tentang kenaikan harga makanan yang menjejaskan kos sara hidup dan semua ini disebabkan oleh ketegangan geopolitik semasa yang membawa kepada inflasi import, manakala prestasi ringgit berbanding Dolar Amerika merosot 0.7% dalam suku pertama 2022.

“Ekonomi di seluruh dunia telah mengalami tekanan yang besar sejak dua tahun lalu, pandemik Covid-19 turut mengejutkan dunia dan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan, mata pencarian rakyat dan telah menyebabkan banyak ekonomi ke dalam kancah kemelesetan. Kita tahu, Sarawak turut mengalami isu serupa,” katanya.

Menyedari ketidaktentuan itu, beliau berkata, Sarawak telah menetapkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) untuk menangani pembaharuan ekonomi negeri ketika Sarawak bergerak ke arah negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

Di bawah PCDS 2030, beliau berkata, ekonomi Sarawak disasarkan berkembang pada purata antara 6% dan 8% setahun jika ia boleh maju berbanding hanya pergantungan kepada komoditi utama sebagai sumber pendapatan utamanya dengan mempelbagaikan ekonominya kepada industri hiliran yang bernilai tinggi.

“Saya yakin kita akan dapat meraihnya melalui kepercayaan ini dalam usaha mencapai matlamat dan aspirasi Sarawak melalui model ekonomi baharu,” katanya. – SM

 

 

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button