SEORANG lelaki dikatakan terjatuh dari Jambatan Sungai Besut pada Rabu telah menggemparkan penduduk setempat.
Namun, ketika pasukan penyelamat bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), lelaki tersebut yang berkain pelikat rupa-rupanya sudah pulang ke rumah.
Lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa, selepas terjun dan ‘menyegarkan’ diri di sungai itu, dia pulang ke rumahnya yang terletak di Lay Out Padang Luas, Jerteh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, perkara itu dimaklumkan isterinya susulan hebahan di laman sosial mengenai operasi SAR di jambatan berkenaan.
Tambahnya, wanita berusia 53 tahun itu bersama anaknya datang ke balai polis kira-kira jam 9.30 pagi pada Khamis untuk menceritakan hal sebenar.
“Isteri mangsa ternampak status di Facebook dan ciri-ciri pakaian individu berkain pelikat yang didakwa terjatuh dari jambatan sama seperti dipakai suaminya ketika kejadian,” katanya.
Azrol Anuar berkata, lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk menerima rawatan selepas mengadu sakit-sakit badan kerana terjun sungai
Tambahnya, siasatan mendapati punca sebenar lelaki itu bertindak terjun dari jambatan adalah kerana tidak tahan panas.
“Lelaki berkenaan mendakwa badannya panas setiap jam menyebabkan dia berasa tidak tahan lalu nekad terjun dari jambatan pada waktu tengah hari,” katanya.
Terdahulu, seorang saksi ternampak mangsa yang memakai baju berwarna kelabu dan berkain sarung berada di jambatan tersebut.
Namun, ketika melepasi jambatan, saksi mendakwa tidak lagi nampak kelibat mangsa dan mengesyaki mangsa terjun dari jambatan.
Kemudian, dia menghubungi pihak polis dan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan. -SM