Nasional

Sambutan Hari Tentera Darat diwarnai dengan Projek Jiwa Murni

Hari Tentera Darat yang disambut pada 1 Mac tahun ini bertemakan ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat, Tunjang Kedaulatan Negara’ amat bertepatan dengan signifikan pelaksanaan ‘Projek Jiwa Murni’ bagi membantu mengecat rumah dan mengindahkan kawasan Pulau Ketam dan Kampung Seberang Ramai di Kuala Perlis yang berjaya dilaksanakan oleh warga Rejimen 504 Askar Wataniah.

Penglibatan rejimen berkenaan untuk turut serta bersama-sama warga Batalion Ke-4 Rejimen Renjer DiRaja dalam menjayakan projek transformasi kampung atas inisiatif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu menunjukkan bahawa pihak rejimen juga peka dalam usaha-usaha mensejahtera rakyat.

Kerjasama di antara agensi-agensi di negeri ini bersama dengan pihak rejimen menerusi pelbagai inisiatif juga telah memberi banyak manfaat dalam jaringan strategik organisasi dan mobilisasi rakyat menerusi Askar Wataniah khususnya dengan khidmat sokongan operasi dan pengurusan bencana.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau kerja-kerja yang telah disiapkan oleh warga Tentera Darat Malaysia di Pulau Ketam dan Kg Seberang Ramai Kuala Perlis baru-baru ini.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen itu turut menitahkan bahawa dalam meningkatkan kadar kemasukan dan keaktifan anggota sukarela baru dan lama dalam Askar Wataniah, pihak rejimen sendiri, Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah dan juga semua agensi baik kerajaan mahupun bukan kerajaan dipohon untuk turut sama membantu bagi mempublisitikan perkara ini supaya dapat menarik minat lebih ramai belia terutamanya anak watan di negeri ini untuk menyertainya.

‘Penglibatan seseorang anak muda dalam pasukan Askar Wataniah akan memberikan pendedahan praktikal yang konstruktif terhadap pelbagai aspek pengurusan latihan, operasi dan bencana yang mana berupaya menyumbang tenaga pada saat-saat genting negara apabila angkatan tetap memerlukan khidmat angkatan sukarela’ jelas baginda.

Tuanku Raja Muda turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Markas Briged Ke 30 Infantri Tentera Darat Malaysia di bawah pimpinan Panglimanya, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu yang telah turut memainkan peranan besar dalam sama-sama menjayakan kerja-kerja mengecat rumah, bergotong royong membersihkan kawasan serta membaikpulih ‘golf buggies’ yang sudah dilupuskan oleh Kelab Golf Putra untuk digunakan sebagai hiasan statik di lokasi.

Pada kesempatan yang sama, Mohamad Zaidi pula mewakili sekuruh warga rejimen yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri itu mempersembahkan ucapan selamat menyambut hari ulangtahun keputeraan ke 12 pada hari ini kepada anakanda Tuanku Raja Muda iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail yang telah diputerakan pada 12 April 2009 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button