Macam nak samak tangan selepas salam Chin Peng, kata Syahril A. Kadir
KUALA LUMPUR – “Selepas pertemuan itu, terus terang, saya macam nak samak saja tangan saya kerana saya merasakan telah ‘terpegang’ seekor binatang yang cukup kotor dan hina!
Itu pengakuat terbuka bekas wartawan Utusan Malaysia, Syahril A Kadir yang pernah bertemu dan menemubual secara langsung ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng di Hatyai beberapa tahun sebelum kematiannya.
Menurut Syahril, jika tidak kerana pesan arwah abahnya yang mahu beliau menghormati setiap insan di dunia ini walaupun dia seorang musuh, nescaya dia tidak akan menyambut salam Chin Peng.
“Ketika tangan saya menyentuh tangannya, saya rasa seolah-olah darah anggota keselamatan yang gugur dalam pertempuran dengan komunis mengalir dan membasahi tangan kami berdua.
“Buat abah, maafkan saya kerana tidak mampu menyambung perjuanganmu mengangkat senjata, tetapi selagi nyawa dikandung badan, izinkan saya berjuang menghancurkan perjuangan kejam mereka dengan cara saya sendiri,” tulis Syahril dalam Facebooknya.
Menurut Syahril, beliau membenci PKM bukan kerana arwah ayahnya seorang anggota tentera yang mengabdikan hampir keseluruhan 30 tahun perkhidmatan untuk memburu pengganas-pengganas komunis.
Syahril berkata, kebenciannya terhadap komunis kerana kumpulan pengganas tersebut bukan saja mengguna senjata, tetapi mereka juga menyebarkan benih kebencian melalui pemikiran, ideologi, propaganda serta hasutan.
Penyebaran hasutan komunis tersebut hanyalah bertujuan untuk rakyat Malaysia yang berbeza agama dan bangsa berseteru dan curiga mencurigai antara satu sama lain bagi membolehkan mereka menguasai Malaysia.
“Paling saya benci, ketua mereka Chin Peng hanya pandai mengarahkan anggotanya melakukan kekacauan dan pembunuhan di sana sini sedangkan dia sendiri tinggal di banglo mewah siap pemandu dan secretary nun jauh di Beijing!” kata Syahril.
Menurut Syahril, beliau tidak mereka-reka cerita bila mendakwa Chin Peng meninggalkan rakan-rakannya berjuang di hutan belantara sedangkan dia sendiri lari ke China dan hidup mewah selama berpuluh tahun di negara tersebut.
Syahril berkata, rahsia Chin Peng hidup mewah di negara China didedahkan sediri Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga Komander Rejimen Ke-10, Musa Ahmad yang menyerah diri kepada kerajaan Malaysia pada November 1980 setelah berpuluh tahun tinggal di Beijing bersama-sama Chin Peng.
“Pengakuannya dimuatkan dalam buku berjudul Baling, Membuka Jalan Damai oleh Wahba pada tahun 1994. Malah Jamaluddin Ibrahim, anak kepada komunis Melayu Wanita yang terkenal, Shamsiah Fakeh juga pernah menceritakan perkara yang sama dalam artikel yang ditulisnya di akhbar The Star pada tahun 2013.
“Terima sajalah hakikat yang Chin Peng bukan saja berjaya membodohkan tentera-tenteranya, tetapi juga berjaya memperbodohkan merka yang bersimpati dengan perjuangannya dan Parti Komunis Malaya (PKM),” kata Syahrir.-SM