fbpx
NasionalPolitik

Peserta tatu hampir telanjang: Isu diguna untuk serang kerajaan – Mujahid

KUALA LUMPUR – Isu model tatu hampir telanjang dalam Tattoo Malaysia Expo 2019 di ibu negara baru-baru ini telah digunakan untuk menyerang kerajaan.

Menurut Menteri di di Jabatan Perdana Menteri Dr. Mujahid Yusof, ada pihak yang sengaja menyebarkan isu tersebut seolah-olah untuk dijadikan naratif bahawa kerajaan hari ini tidak menjaga Islam dan menuduh bahawa kejadian seperti itu tidak berlaku sebelum ini.

“Penafian dari kementerian pelancongan itu sendiri menggambarkan bahawa kita tidak pernah menyokong program sebegitu rupa. Cuma, saya fikir dalam hal ini pihak tertentu sekali lagi dan buat sekian kalinya menjadikan isu ini untuk menyerang kerajaan. Kononnya dulu tak pernah berlaku tapi sekarang berlaku.

“Sedangkan kita tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku dan sengaja disebarkan dalam media seolah kitalah yang merencanakannya.

“Jadi, dengan itu naratif mereka tercapai. Apa naratif mereka? Kerajaan hari ini tidak jaga Islam dan sebagainya dan saya sebagai menteri agama tidak mungkin kita boleh membiarkan perkara ini dari segi ia dikaitkan dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita.


Acara Tattoo Malaysia Expo 2019 mencetus kontroversi kerana menampilkan model hampir berbogel bagi memperagakan tatu yang terdapat pada badan mereka.

Terdapat gambar peserta wanita tidak memakai baju dan mendedahkan bahagian dadanya kepada penonton yang hadir untuk memperagakan tatu yang dilukis pada badannya dan gambar peserta wanita yang memakai seluar dalam jenis g-string sedang mencangkung memperagakan tatu yang dicacah pada bahagian punggungnya di sebarkan di media sosial.

Mujahid berkata, sebagai sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama beliau hanya boleh memberi amaran dan nasihat sahaja kerana beliau dan kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sebaliknya, dari sudut penguatkuasaan undang-undang beliau menyerahkannya kepada kementerian pelancongan, kementerian dalam negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu Mujahid menyeru rakyat Malaysia agar lebih sensitif serta berusaha mengelakkan perkara yang tidak menggambarkan budaya perdana di negara ini.

“Di pihak kerajaan pastinya saya mahu mengingatkan semua pihak, kita boleh melakukan apa sahaja selagi ia mengikut undang-undang, ikut sensitiviti dan kalau pun ia di lihat sebagai satu seni maka buatlah dalam keadaan tertutup serta pada kelompok tertentu sahaja.

“Janganlah buat ia secara terbuka, kemudian yang lebih buruk hari ini kita tak boleh elak bila ada orang tularkan dalam media sosial dan lebih buruk orang ambil kesempatan (menuduh) ini kerajaan yang buat.

“Sebab kita sentiasa berpegang kepada undang-undang, sensitiviti dan juga hak yang kita boleh kawal serta bukan dengan cara mutlak sebegitu,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Islam dan Kelestarian Ekologi di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi sudah mengarahkan tindakan sewajarnya diambil ke atas penganjur. Menurut Mohammaddin, acara berkenaan telah melanggar tatasusila masyarakat sekali gus tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia.

“Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

“Kami akan menanti laporan penuh siasatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan,” kata Mohamaddin.

Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 November hingga 1 Disember lalu menghimpunkan peserta dari 35 negara.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button