Sahruddin Jamal Doa Urusan Pengamal Media Sepanjang PRN Johor Dipermudahkan!
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menitipkan doa kepada Allah SWT agar segala urusan pengamal media yang terlibat membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dipermudahkan.
Selain dipermudahkan urusan, Sahruddin yang mewakili seluruh wakil PN mendoakan agar kesemua pengamal media yang bertugas akan sentiasa dilindungi setiap waktu.
“Keutamaan wajar diberikan kepada soal keselamatan diri terutamanya daripada ancaman wabak Covid-19 yang masih lagi belum berakhir di negara kita.
“Sentiasalah berwaspada ketika bertugas,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Setiausaha PN Negeri Johor, semalam.
Penganjuran majlis tersebut bertujuan menterjemahkan manifestasi pengiktirafan dan penghargaan PN di Johor terhadap sumbangan diberikan oleh pengamal media.
Turut hadir, Naib Pengerusi PN Negeri Johor, Senator Ir Md Nasir Hashim.
Selain itu, Sahruddin berharap pengamal media dapat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan melaporkan berita yang tepat, berimbang dan jelas.
Katanya, ledakan teknologi maklumat pada masa kini, menyaksikan siaran sesuatu berita atau sebaran maklumat menjadi begitu pantas dan meluas.
“Ada di antara isi kandungan yang tersasar, bahkan berniat menyemai kebencian apatah lagi berunsur prejudis, serta stereotaip terhadap seseorang mahupun pihak tertentu.
“Maka di sinilah, pentingnya peranan media untuk melaporkan dan menjustifikasikan kebenaran seterusnya meletakkan martabat profesion kewartawanan ke tahap tertinggi serta mulia,” katanya.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengamal media.
“Semoga tautan ukhwah sedia terbentuk terus berkekalan sampai bila-bila. Insya Allah, jika diizinkan untuk membentuk Kerajaan, Perikatan Nasional tetap teguh bersama dengan sahabat-sahabat pengamal media.
“Selamat menunaikan tanggungjawab memandangkan pengamal media merupakan kelompok yang akan mengundi secara pos, dan selamat bertugas pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Sumber: infojohor.com.my