Saharul Ridzwan berehat berlakon, fokus perniagaan, belajar sunnah
PELAKON Saharul Ridzwan mahu memberikan tumpuan terhadap bidang perniagaan sebagai perancangan masa hadapan dan fokus belajar sunnah.
Bagaimanapun, pelakon drama Mr. Bibik Saharul, 33, berkata dia tiada niat untuk berhenti daripada bidang lakonan.
“Saya sekarang tengah berehat daripada bidang lakonan. Saya tengah fokus kepada perniagaan dan belajar sunah.
“Sekarang saya tengah usahakan produk serum. Serum yang pertama dekat Malaysia menggunakan habatus sauda. Alhamdulillah mendapat sambutan.
“Untuk bidang lakonan, saya bukan cakap saya nak berhenti berlakon, jika ada cerita yang sesuai dengan saya dan masa, saya terima. Kalau ada rezeki lebih dalam berniaga, mana tahu Allah bagi rezeki untuk saya terbitkan dan berlakon dalam naskah sendiri. Macam Aeril Zafrel dan Wawa Zainal,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini dia telah banyak melakukan perniagaan dan membuat kolaborasi dengan produk lain maka telah tiba masanya untuk dia mengeluarkan produk sendiri.
“Untuk tahun 2022, saya berazam dan berdoa agar Allah kurniakan sesuatu yang saya boleh buat sendiri.
“Kebetulan Allah hadirkan perintah kawalan pergerakan (PKP) membuatkan saya terfikir jika saya tidak berlakon apa akan terjadi. Perkara ini mengguatkan lagi saya untuk membuat perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Saharul akan menunaikan umrah pada bulan puasa ini dan menjadi jemputan istimewa dalam pakej umrah bersama syarikat Syabibah Travel & Tours.
Bagi Saharul, tawaran untuk menyertai program umrah ketika minggu pertama Ramadan ibarat bulan jatuh ke riba buatnya.
“Tawaran ini diberikan Faizal Ismail ketika kami menjayakan sebuah program. Saya terima tawaran ini kerana saya rasa terpanggil untuk menunaikan umrah.
“Sebenarnya saya ada hajat untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Bila dapat tawaran ini kebetulan ustaz bagitahu saya buat umrah di bulan Ramadan pahalanya sama dengan mengejarkan haji.
“Syukur Alhamdulilah saya minta untuk mengerjakan haji tapi saya dapat buat umrah yang ganjarannya sama dengan mengejarkan haji,” katanya.
Ketika ditanya perasaan mengejarkan umrah ketika pandemik Covid-19, Saharul berkata dia tiada perasaan takut untuk mengejarkan ketika ini tetapi rasa takut jika tidak jadi pergi umrah.
“Saya rasa takut jika tidak jadi pergi umrah pada 1 April nanti kerana saya tidak tahu nanti kerajaan benarkan atau tidak pergi umrah.
“Dulu kita boleh pergi, bila ada duit semua orang boleh pergi tapi sekarang ada duit pun belum tentu boleh perg,” katanya.
Saharul akan berangkat ke tanah suci pada 1 April hinggan 12 April nanti. -SM