fbpx
Politik

Sabah bergolak, rakyat memerhati

ulama
PADA pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional (BN) telah memenangi negeri Sabah dan Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.
Bagaimanapun kemenangan itu telah dibatalkan apabila beberapa wakil rakyat melompat dan memberi sokongan kepada Warisan iaitu parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal.
Selepas Musa dipecat, Shafie telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang baharu.
Warisan yang menjadi sebahagian daripada komponen kepada Pakatan Harapan telah memerintah Malaysia untuk hampir 22 bulan.
Dalam tempoh itu Shafie berjaya menguruskan dengan baik, apatah lagi mendapat sokongan daripada kerajaan pusat.
Dugaan pertama yang perlu dihadapi ialah apabila berlangsungnya pilihan raya kecil Kimanis.
Semasa pilihan raya kecil ini jelas kelihatan kepincangan parti Warisan dan gabungan parti lain termasuk PKR, Bersatu dan parti-parti negeri yang tidak mempunyai akar umbi yang kemas.
Kempen-kempen hanya tertumpu kepada Shafie dan tanpa kehadiran beliau jumlah hadirin merosot, maka terpaksalah beliau berkeliling seluruh Kimanis berkempen.
Berbanding BN mempunyai jentera yang kemas bergerak dengan lancar dan akhirnya terbukti BN menang dengan majoriti besar di bawah hidung Shafie.
Tidak lama lepas itu PH pun tumbang. Pergolakan yang berlaku menyebabkan kerajaan tumbang dan memberi laluan kepada BN, Pas, Bersatu dan serpihan PH membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sekali air bah, sekali pantai berubah. Sokongan wakil rakyat pun mula beralih arah.
Di Kedah Pas mengambil alih kerajaan negeri dan di Perak kekal diperintah oleh Bersatu, dengan sokongan komponen PN.
Selepas itu usaha atau gerakan mengambil kembali Sabah terus galak dan beberapa hari selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu para pemimpin UMNO, sokongan wakil rakyat di negeri di bawah bayu telah beralih kepada PN.
Musa mendakwa mempunyai jumlah akuan bersumpah wakil rakyat yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baharu.
Bagaimanapun Shafie telah bertindak membubarkan dewan undangan negeri dan akan mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.
Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung sekitar bulan September nanti.
Shafie sebagai ketua menteri yang sah berhak untuk membubarkan DUN, tetapi Musa mendakwa dia dirompak untuk kali kedua kerana tidak dibenarkan mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah.
Rombongan beliau telah disekat daripada memasuki pekarangan kediaman TYT.
VIDEO rombongan Musa disekat daripada memasuki kediaman TYT Sabah https://youtu.be/odpTCj9dXyc
Akhirnya rakyat Sabah akan memilih kerajaan yang mereka mahukan. Mandat dikembali kepada rakyat.
Memang jelas Shafie tidak mempunyai pilihan lain dengan mengadakan pilihan raya beliau berharap rakyat akan memilih beliau sebagai pemimpin yang sah, berbanding sebelum ini membentuk kerajaan pintu belakang.
Ramai pastinya belum lupa siasatan SPRM terhadap Shafie berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan wang.
Pastinya kes itu akan dibuka kembali jika beliau sudah tidak berkuasa. Dan apa pula jaminan ia tidak dibuka kembali ketika PN memerintah negara?
Dalam situasi ini rakyat memerhati dan akan membuat pilihan. Selepas siri kemelut politik yang berlaku mereka pastinya bijak membuat pilihan demi kebaikan rakyat keseluruhan.
Bagi rakyat Sabah selamat memilih. Sekadar cadangan apa salahnya jika disusuli pilihan raya umum pula. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button