Berita

RUU Keselamatan Siber digubal segera – PM

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara sepakat agar Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan ekosistem siber.

Sehubungan itu, beliau berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dipertanggungjawab sebagai agensi tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini.

“Entiti dalam ekosistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.

“Pada masa yang sama, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimakan kecekapan.

“RUU Keselamatan Siber akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber serta menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS),” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau pada masa sama berpandangan, Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber.

Katanya, ia menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakupi ehwal yang lebih besar di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.

(Visited 26 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button