Rusia negara pertama daftar vaksin Covid-19 hari ini
RUSIA menjadi negara pertama mendaftar vaksin Covid-19 hari ini. Pengumuman itu dibuat oleh Presidennya, Vladimir Putin.
“Setahu saya, puntuk pertama kalinya dunia menyaksikan vaksin terhadap jangkitan coronavirus baru telah didaftarkan,” kata Putin.
Agensi Berita Rusia (TASS) melaporkan, Putin turut menyatakan bahawa salah seorang anak perempuannya telah menguji vaksin tersebut pada dirinya sendiri dan dia berasa sihat.
Pemimpin Rusia itu menyatakan bahawa vaksin Covid-19 tersebut membentuk imuniti sel dan antibodi yang stabil.
“Saya tahu kerana salah seorang anak perempuan saya diberi vaksin ini, dalam erti kata lain dia mengambil bahagian dalam ujian,” kata Putin.
Putin menyatakan bahawa selepas medapat suntikan vaksin itu anak perempuannya mengalami suhu demam 38 ° C dan pada keesokan harinya, demam sedikit lebih tinggi daripada 37 ° C.
“Dan kemudian, setelah disuntik kali kedua dia demam sedikit dan kemudian sembuh. Dia merasa sihat dan mempunyai jumlah [antibodi] yang tinggi,” kata Putin.
Presiden Rusia itu mempunyai dua anak perempuan iaitu Maria yang lahir pada 1985 dan Katerina lagi pada 1986.
Sebelum ini Menteri Kesihatan Rusia, Mikhail Murashko mengumumkan Rusia bakal mendaftarkan vaksin COVID-19 pertamanya.
“Pasukan profesional perubatan dan warga emas akan menjadi kumpulan pertama mendapat vaksin tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, peruntukan bagi program vaksinasi juga akan ditanggung kerajaan. Ujian klinikal vaksin pula sudah pun bermula sejak 18 Jun, melibatkan 38 sukarelawan.-SM