Ekonomi

Produk seni kraftangan negara kini dijual secara online di MYcraftshoppe

PENGGUNA tidak lagi perlu pergi ke pasar seni untuk membeli produk tradisional dan kesenian Malaysia. Ini kerana semua produk hasil usahawan di bawah Kraftangan Malaysia akan dipasarkan secara dalam talian menerusi MYcraftshoppe.

Menerusi platform ini, pengguna ditawarkan dengan kepelbagaian produk yang terdapat dalam rantaian industri kraf yang merangkumi produk, bahan mentah, rekaan produk, perkhidmatan selepas pembelian dan maklumat berkaitan industri kraf negara.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, buat permulaan platform tersebut menghimpunkan kira-kira 400 orang usahawan kraf yang terdiri daripada pembuat, pembekal hinggalah pengedar.

“MYcraftshoppe adalah platform e-marketplace untuk memasarkan produk kraf dan perkhidmatan secara dalam talian (online) berkonsepkan global reach local identity.

“Kategori produk meliputi bidang utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf yang dibahagikan kepada kategori seperti apparel, fashion accessories, gifts and souvenirs, home, garden and houseware, dan hobbies and lifestyle,” kata Nancy pada majlis pelancaran yang berlangsung di lobi Parlimen.

Idea mewujudkan MYcraftshoppe bermula apabila Kraftangan Malaysia memperkenalkan berbagai-bagai inisiatif pemasaran secara online.

Ini termasuk Kumpulan Facebook E-Kraf Bazar yang merupakan salah satu inisiatif pemasaran yang diwujudkan bermula 8 April 2020 bertujuan memasarkan produk kraf dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini.

Kraftangan Malaysia turut memperkenalkan aplikasi mobile yang dikenali sebagai ‘CraftOnTheGo’ yang boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play Store.

Inisiatif ini menyediakan perkhidmatan digital maklumat direktori secara geolokasi yang mengandungi profil usahawan kraf, keterangan produk, imej, maklumat media sosial dan lokasi outlet yang boleh diakses secara terus ke tempat usahawan melalui Google Maps.

Pada majlis yang sama juga Nancy turut mengumumkan pembukaan semula Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn.Bhd di seluruh negara termasuk cawangan ke-12 yang bertempat di bangunan Parlimen.-SM

(Visited 1,111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button