PERSIDANGAN Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 hari ini menyaksikan Rus’ele Eizan dilantik sebagai Speaker yang baharu.
Naib Pengerusi II Perikatan Nasional (PN) Perlis ini mengangkat sumpah setelah namanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan disokong oleh Exco Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan.
Rus’ele, 65 pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat selama sepenggal pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
Anak kelahiran Simpang Empat, Perlis ini berazam untuk menjalankan amanah sebaik mungkin di sepanjang berlangsungnya persidangan pada kali ini.
Beliau juga berharap tidak berlaku sebarang perbezaan pendapat antara Exco Kerajaan Negeri dan ADUN dengan ketua-ketua jabatan di negeri ini.
“Kita memang menghormati ketua-ketua jabatan kerana memang berpengalaman dan berharap akan membantu menyokong Exco bagi memutuskan dasar untuk memajukan Perlis,” katanya ketika ditemui media di Kompleks DUN di Persiaran Wawasan di Kangar.
Sementara itu, 15 ADUN Perikatan Nasional (PN) dan seorang Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah yang dimulakan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sebagai ADUN Sanglang.
Dituruti pula Izizam Ibrahim (Bersatu-Titi Tinggi), Haziq Asyraf Dun (PAS-Beseri), Saad Seman (PAS-Chuping), Wan Badariah Wan Saad (PAS-Mata Ayer), Muhammad Azmir Azizan (PAS-Santan)
Fakhrul Anwar Ismail (PAS-Bintong), Datin Marzita Mansor (Bersatu-Sena), Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan), Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis), Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang),
Megat Hashirat Hassan (Bersatu-Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Bersatu-Tambun Tulang), Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) dan Razali Saad (PAS-Simpang Empat). – SM