
Rosyam Nor kekal tenang peminat nak boikot kerana watak ‘gatal’ anggap ia gurauan
PELAKON dan usahawan terkenal Datuk Rosyam Nor kekal tenang menghadapi kecaman segelintir netizen yang menyeru boikot terhadap pasar rayanya, ST Rosyam Mart. Bagi Rosyam, reaksi tersebut hanyalah sebahagian daripada gurauan dan perbualan biasa di media sosial.
Kontroversi ini timbul susulan watak yang dilakonkannya dalam drama terbaharu, di mana karakter tersebut dianggap menjengkelkan dan tidak bermoral oleh sebahagian penonton.
“Saya ada dengar ada yang kata watak Iman membuatkan mereka mahu memboikot ST Rosyam Mart. Tapi saya percaya mereka sebenarnya bergurau. Dahulu, sewaktu saya mula membuka pasar raya ini pada 2018, perkara yang sama berlaku. Namun, akhirnya, ia secara tidak langsung menjadi promosi buat perniagaan saya,” katanya kepada Gempak.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian serentak ST Rosyam Mall dan cawangan kelapan ST Rosyam Mart di Jalan Kebun, Klang, Selangor. Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho.
Menurut Rosyam, watak yang dibawakannya dalam drama berkenaan bukanlah sekadar untuk mencetuskan sensasi, sebaliknya membawa mesej realiti tentang individu bertopengkan manusia tetapi memiliki sikap keji.
“Watak ini mungkin membuatkan ramai tidak selesa, tetapi hakikatnya, ia mencerminkan kejadian yang benar-benar berlaku. Ramai mangsa mengalami situasi sebegini tetapi tidak dapat bersuara kerana ketiadaan bukti.
“Saya membentuk karakter Iman ini berdasarkan skrip Erma Fatima, dengan menonjolkan sisi gelap manusia yang lebih buruk daripada iblis sendiri. Namun, apa yang penting, semakin ramai kini berani tampil untuk mendedahkan kebenaran dan keluar daripada ketakutan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Rosyam turut berbangga apabila ST Rosyam Mart berjaya mencatat sejarah dalam Asean Records sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara yang inovatif, dengan menawarkan 21 perkhidmatan awam percuma, termasuk kemudahan pandu lalu yang mesra pelanggan.