Sukan

Rossi sertai pasukan Malaysia, musim depan

VALENTINO Rossi dijangka mengikat perjanjian bersama pasukan Petronas Yamaha MotoGP sewaktu Grand Prix (GP) Motosikal Catalunya, hujung minggu ini.
Khabar itu akhirnya menjadi kenyataan dan juara dunia sebanyak sembilan kali tersebut akan menurunkan tandatangannya untuk musim 2021.
Pelumba Itali itu pernah menyifatkan perpindahannya ke pasukan satelit tersebut 99 peratus pasti sewaktu di temu bual, Julai lalu.
Bagaimanapun, pengumuman rasmi yang tertangguh lama itu turut mencetuskan khabar angin legenda Itali tersebut akan bersara.
Semalam di Catalunya, Rossi sekali lagi memberi jaminan bahawa dia akan berlumba bersama pasukan berpangkalan di Litar Antarabangsa Sepang itu, musim depan, dan menambah, dia telahpun mencapai persetujuan sewaktu di Misano lagi dan dijangka menandatangani kontrak selama setahun, hujung minggu ini.
“Sewaktu perlumbaan di Misano kami telah mencapai persetujuan. Situasinya cukup jelas, saya akan berlumba bersama Petronas, tahun depan.
“Tetapi banyak perkara yang perlu disertakan dalam kontrak dan ada yang perlu diubah suai, lagipun kami bukan tergesa-gesa kerana persetujuan telahpun dicapai.
“Saya rasa pada hujung minggu ini saya akan menandatangani kontrak dan saya sangat gembira dapat terus berlumba tahun depan bersama Yamaha dan Petronas,” kata Rossi.
Rossi akan bertukar dengan Fabio Quartararo, yang mengisi kekosongan tempat ditinggalkannya bersama pasukan Factory Yamaha, dan bakal menjadi rakan sepasukan bintang daripada Akademi VR46, Franco Morbidelli, musim depan.
Pelumba veteran berusia 41 tahun itu turut mengesahkan antara isu yang perlu diselesaikan ialah mengenai spefikasi motosikal dan krew pasukan yang akan menyertai Rossi.
“Bagi saya, kadang kala orang dalam MotoGP menandatangani kontrak terlalu awal untuk tahun depan. Banyak yang anda perlu fikirkan untuk musim depan sebelum memikirkan tentang musim yang sedang berjalan.
“Saya perlu berfikir hari demi hari, langkah demi langkah, ramai yang turunkan tanda tangan mereka lebih awal, sebagai contoh ia lebih awal berbanding Formula 1.
“Kami pernah berunding semasa di Jerez (Julai lalu) dan saya setuju dengan Yamaha dan begitu juga Petronas. Tetapi oleh kerana kami telah bersetuju, maka kami tidak tergesa-gesa.
“Kontrak amat penting, jadi ada yang perlu diperbaiki dari segi teknikal, motosikal dan juga pasukan. Saya rasa beberapa krew akan meninggalkan Petronas untuk berpindah ke pasukan factory bersama Quartararo dan begitu juga sebaliknya,” kata Rossi ketika mengulas mengenai kontrak yang tertunda.
Rossi dikatakan akan membawa tiga ahli pasukan bersamanya, termasuk ketua krew yang baharu, David Munoz, tetapi mekanik yang telah lama berkhidmat, Alex Briggs dan Brent Stephens tidak turut serta.
“Saya minta maaf kepada Alex dan Brent, mereka mahu menyertai saya, tetapi ia mustahil. Memang sedih tidak lagi bersama mereka di garaj,” jelas Rossi.
Rossi memulakan separuh kedua musim MotoGP dengan menyaksikannya jatuh ke tangga kesembilan dalam kejuaraan motosikal dunia selepas pelumba Itali itu terjatuh di Misano, tetapi dia hanya dipisahkan 26 mata di belakang pendahulu, Andrea Dovizioso (Ducati). – Crash.net – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button